Bermula 1 hb Disember 2007 saya telah mendaftar diri di SMK Hulu Kelang untuk memulakan tugas sebagai Penolong Kanan. Oleh itu, selamat tinggal jawatan Ketua Unit Teknik Dan Vokasional Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan selamat datang jawatan Penolong Kanan dengan harapan dapat menyumbang bakti dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Tempoh satu tahun lapan bulan berkhidmat sebagai Ketua Unit Teknik Dan Vokasional telah memberi pendedahan dasar-dasar Kementerian Pelajaran Malaysia kepada saya. Terutamanya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010.
Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya menerusi jawatan Penolong Kanan akan saya laksanakan dengan penuh dedikasi. Menerusi jawatan ini, saya bukan lagi berperanan sebagai 'perantara' antara Kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dengan sekolah-sekolah di daerah Gombak tetapi lebih berperanan sebagai pelaksana dasar-dasar yang digubal bersama-sama dengan Pengetua dan warga SMK Hulu Kelang. Sebarang rintangan dan pemasalahan perlu dihadapi dan diatasi dengan kebijaksanaan. Di SMK Hulu Kelang, saya dengan kerjasama yang padu dari warga SMK Hulu Kelang akan berusaha untuk membestarikan sekolah menerusi serampang dua mata, iaitu mengamalkan budaya ICT dalam menambah nilai kecemerlangan pentadbiran sekolah sedia ada dan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Saya berharap Ketua Unit Teknik Dan Vokasional PPD Gombak yang baru dapat meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mencapai matlamat perluasan pembestarian semua sekolah di daerah Gombak menjelang tahun 2010. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Pelajaran Daerah Gombak, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Gombak, semua warga PPD Gombak, dan Pasukan Jurulatih Utama ICT, Aplikasi ICT, Penyelaras Makmal Komputer yang telah memberi kerjasama yang amat baik kepada saya semasa menjalankan tugas sebagai Ketua Unit Teknik Dan Vokasional.