Tuesday, July 21, 2009

Tentang Kualiti


Suatu perkara yang perlu kita fikirkan bersama ialah tentang apakah sumber yang mencetuskan kualiti? Kerana dengan mengetahui sumbernya kita dapat pula berusaha untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kerja atau aktiviti yang tidak berkualiti. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah manusia. Hanya manusia yang mampu menjana dan mengenal kualiti. Walaupun ada bangunan pencakar langit dan sistem lebuh raya yang berkualiti, namun yang sebenarnya berkualiti ialah manusia yang membina segala frasarana tersebut. Dengan kata lain, hanya insan berkualiti mampu menghasilkan segala kreativiti dan inovasi yang berkualiti pula sifatnya. Yang menilai dan mengetahui sama ada sesuatu keluaran, perkhidmatan, pekerjaan atau aktiviti berkualiti juga ialah manusia.

Begitu juga dengan hasil penulisan, syair dan karya-karya agung yang lain, semuanya dihasilkan oleh insan yang berkualiti. Sebaliknya kerosakan yang berlaku kepada alam ini juga dilakukan oleh manusia, iaitu insan yang tidak berkualiti. Segala kemusnahan hutan, pembangunan yang tidak seimbang, pencemaran alam, eksploitasi yang berlebihan dan sebagainya merupakan hasil perbuatan manusia yang tidak berkualiti.