

SMK TAMAN MELAWATI
ATASI SIKAP KEGAGALAN UNTUK BERJAYA
Oleh : Encik Sajoli Bin Hj.Masdor M. Ed. (UPSI)
Rencana ini ditulis khas untuk pelajar SMK Taman Melawati, sebagai suntikan kesedaran untuk mengatasi dan mengikis sikap-sikap kegagalan dalam diri. Apabila kesedaran atau muhasabah diri telah dicapai maka sikap-sikap yang membawa kepada kejayaan akan hidup dengan subur dalam diri pelajar buat selama-lamanya.
Sifat malas atau lebih dikenali dengan Penyakit Malas telah menjadi musuh utama untuk belajar mengejar kejayaan. Malas mungkin berpunca daripada tiada visi yang hendak dicapai dalam jangka pendek dan jangka panjang. Ini menjadikan kehidupan pelajar hanya ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’.
Tidak ada atau kurang bermotivasi. Untuk menjalani kehidupan, motivasi amat penting bagi setiap individu. Melalui motivasi, pelajar lebih jelas akan faedah yang akan diperoleh. Terdapat juga paras motivasi di kalangan pelajar yang boleh diibaratkan seperti harga saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Selepas mendengar ceramah motivasi daripada pakar motivasi, semangat pelajar meningkat dan selepas itu menjunam dan terus merudum.
Bertanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa hadapan yang cerah. Mereka mengambil contoh ramai di kalangan artis walaupun tidak mempunyai ijazah dari Universiti tetapi mereka masih boleh berjaya dalam hidup. Manakala ramai di kalangan siswazah lepasan Universiti masih menganggur. Persoalan yang perlu difikirkan oleh pelajar ialah adakah mereka mempunyai bakat seperti boleh menyanyi dengan baik dan cekap bermain alat muzik? dan kejayaan yang dicapai segulung ijazah dapat bertahan lama?. Adakah siswazah lepas universiti itu menganggur untuk selama-lamanya? Lambat laung mereka akan mendapat pekerjaan juga.
Menjadikan insan yang tidak berakhlak sebagai model. Pelajar lebih cenderung menjadikan penyanyi atau pelakon, khususnya artis dari negara barat yang memaparkan imej negatif sebagai model mereka. Perkara ini dapat dilihat dari segi potongan rambut dan pakaian. Seharusnya pelajar memilih insan yang berjaya dalam akademik sebagai role model mereka. Sikap tidak bersedia untuk menghadapi pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelajar perlu menghindari sikap sering berkhayal dan bermain-main semasa dalam proses belajar di dalam kelas. Berdasarkan pemerhatian saya semasa mengajar, pelajar lebih banyak bercakap-cakap dengan kawan di sebelah dan berkhayal semasa guru sedang menyampaikan isi pelajaran. Pelajar sepatutnya mendengar penerangan guru, membuat catatan di nota dan bertanyakan soalan kepada guru tentang perkara yang masih kurang faham. Jika diadakan aktiviti pembelajaran berkumpulan, ada pelajar yang tidak aktif dalam perbincangan kumpulan. Mereka boleh diibaratkan seperti ‘pokok tumpang-tumpang’.
Tidak membuat perancangan untuk belajar dengan berkesan. Pelajar tidak mempunyai jadual yang lengkap atau pelajar tidak menepati perancangan jadualnya sendiri. Apabila pelajar tidak mempunyai perancangan masa yang baik, banyak perkara dan tugas tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Pelajar perlu merancang masa yang diperlukan untuk menguasai sesuatu tajuk yang baru dipelajari. Kerana untuk menguasai sesuatu tajuk itu, pelajar perlu membuat ulang kaji secara berkala mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Seperti ulang kaji pertama selepas 24 jam belajar, ulang kaji kedua selepas seminggu belajar dan seterusnya.
Sikap mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara atau perbuatan yang tidak baik. Ada segelintir pelajar yang menjadikan pelajar yang berjaya sebagai musuh, bukan sebagai kawan tempat rujukan. Pada pandangan atau anggapan mereka rakan pelajar yang pandai adalah berlagak. Jarang dan kadang-kadang kita dapat lihat pelajar dari kelas A dan kelas J mengadakan aktiviti kumpulan pembelajaran (Study Group). Malahan terserlah keegoan pelajar mengikut kelas masing-masing. Sikap seperti ini harus dikikis dalam budaya pelajar SMK Taman Melawati.
Sikap suka menangguhkan masa untuk belajar hingga saat-saat akhir peperiksaan. Sikap ini merupakan tabiat individu yang lalai dan malas berusaha di peringkat awal. Kebanyakan individu jenis ini jarang-jarang mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Datang lewat ke sekolah atau selalu ponteng kelas. Perangai begini sering dilakukan oleh pelajar yang tidak mementingkan pelajaran. Boleh juga dikatakan mereka datang ke sekolah hanya untuk mendapatkan wang saku dan menjadikan sekolah sebagai pusat penjagaan kanak-kanak dewasa. Khusus untuk pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini, mereka harus sedar masa agak terhad dan peperiksaan SPM pasti datang menemui mereka untuk menilai masa depan sama ada gemilang, cemerlang, dan kelam kabut.
Gagal menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kerana menganggap tugasan itu tidak penting dalam pelajaran dan sering bertangguh-tangguh untuk menyiapkan tugasan. Tugasan yang berterusan dapat meningkatkan kemahiran pelajar menguasai aras kesukaran soalan dan kecekapan menjawab soalan dengan peruntukkan masa yang ditetapkan. Tidak guna jika pelajar boleh menjawab tetapi mengambil masa yang lama dan akhirnya pelajar akan dikira gagal.
Tidak menumpukan perhatian pada pelajaran dan selalu berangan-angan serta sering bermain-main di bilik darjah. Ketahui para pelajar, peringkat umur antara 15 hingga 17 tahun bukan lagi zaman kanak-kanak. Tetapi zaman remaja yang perlu diisi dengan pelbagai kemahiran untuk membolehkan pelajar tampil sebagai seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pemelajaran. Peralatan dan kelengkapan seperti pen, pemadam, buku teks dan buku tulis merupakan peralatan yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pelajar. Ada segelintir pelajar yang tidak membawa peralatan tersebut dan inilah antara ciri pelajar yang gagal. Sebagai contoh semasa ujian bulan Februari ada di kalangan pelajar yang tidak membawa pen, pensel dan kertas tulis. Malah lebih menyedihkan ialah ada pelajar menghantar kertas jawapan dengan tulisan yang tidak kemas. Mereka langsung tidak peka sama ada tulisan mereka boleh dibaca atau sebaliknya.
Sentiasa bermasalah, mencari masalah, dan mendatangkan masalah di sekolah dan di luar sekolah. Antara contoh masalah yang sering berlaku di kalangan pelajar termasuklah ponteng sekolah, ponteng kelas, bergaduh sesama sendiri, merosakkan harta benda sekolah dan mencuri. Sebagai manusia biasa, apa-apa sahaja tingkah laku negatif yang kita lakukan pasti menimbulkan rasa tidak selesa dalam emosi kita. Hal ini boleh memberikan tekanan dan menjejaskan kehidupan kita.
2 comments:
Assalamualaikum.
Cikgu!!!! Tak sangka pula jumpa blog cikgu! Wah... ini sudah hebat. Guru berinteraksi dengan murid melalui blog. Cikgu sekolah lama saya dah maju rupanya...
Bayangkan kalau zaman saya tusyen dengan cikgu dulu kita guna blog2 ni... habis la duit saya masa tu pasal internet zaman 90an dulu mahal, hehe.
syabas cikgu! Saya akan rajin singgah di sini untuk membaca. Cikgu pun jangan la segan silu, singgahlah ke blog saya sekali sekala.
:)
p/s:
Nadia, tahniah. Awak menyuarakan perkara yang sering difikirkan oleh murid-murid, tapi jarang sekali diluahkan.
Siti Eliana Azyze aka Ely Azyze
Assalamualaikum Cikgu
Syabas kerana Cikgu berkongsi pendapat dalam bentuk Blog di alam siber. Saya amat tertarik dengan ulasan Cikgu mengenai kelakuan segelintir murid sepertimana disebut dalam perenggan terakhir komentar Cikgu.
Mutahir ini, terdapat banyak sekali berita berkaitan dengan permasalahan pelajar. Telah banyak bengkel dan seminar diadakan untuk mencari penjelasan ataupun untuk mengenalpasti punca masalah tersebut. Malangnya hingga kini lebih bertambah masalah demikian dengan lebih serius dan ketara lagi.
Pada pendapat saya, punca utama masalah pelajar adalah berkaitan dengan jati diri seseorang pelajar itu sendiri. Ini disebabkan oleh kurangnya atau cetek ilmu pengetahuan tentang Islam. Sekiranya pelajar kita diberi asas ilmu Islam secukupnya,insya Allah mereka tidak bersikap sedemikian. Begitu juga dengan pelajar bukan Islam, mereka harus dididik dengan mengambil kira ugama mereka.
Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa kerana pelajar banyak menghabiskan masa dengan ibu bapa mereka sendiri. Sekira ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak mereka dan mendidik mereka dengan cara yang sesuai maka permasalahan pelajar mungkin tiada ataupun sekurangnya sedikit.
Gejala dan isu moral di antara kalangan pelajar kian meningkat. Mungkin persekitaran, budaya, media dan masyarakat banyak mempengaruhi perangai pelajar. Dengan tiadanya benteng atau pedinding memisahkan pelajar dengan pengaruh budaya melampau,pelajar umpama dibiarkan terapung di tengah lautan bergelora tanpa jaket keselamatan.
Para guru harus memainkan peranan dengan berkesan walaupun banyak sekali kecacatan dalam sistem pendidikan masa kini. Cikgu tidak harus dibebankan dengan tanggungjawab yang tidak terbeban.
Mereka harus diberi ruang untuk berinteraktif secara effektif dengan pelajar untuk menimbulkan suatu keadaan yang positif dan saling percaya mempercayai.
Sekali lagi syabas kepada Cikgu dan teruskan perjuangan murni anda.
Post a Comment