SMK TAMAN MELAWATI
KAJIAN TINDAKAN
1. Tajuk Kajian.
PERSEPSI DAN PENILAIAN PELAJAR TERHADAP PENGAJARAN GURU PRINSIP PERAKAUNAN DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI
2. Nama Penyelidik dan Sekolah.
Encik Sajoli Bin Haji Masdor.
Sarjana Muda Sains Sosial (Pengurusan Dan Ekonomi)
Sarjana Pendidikan (Pengurusan Perniagaan)
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati,
Gombak, Selangor Darul Ehsan.
3. Latar Belakang Kajian.
Muhasabah diri bermaksud menilai diri sendiri dari segi kelebihan dan kekurangan. Ia bertujuan untuk merancang tindakan yang akan diambil pada masa hadapan. Lazimnya selepas sesi pengajaran dan pembelajaran, guru akan menulis catatan refleksi tentang perkembangan pembelajaran di kalangan pelajar. Ini bertujuan untuk dijadikan panduan kepada guru merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari yang berikutnya. Namun demikian agak sukar bagi guru untuk mengesan sejauh manakah maklum balas atau persepsi pelajar terhadap persediaan guru, penyampaian dan pengelolaan P&P, tahap profesionalisme dan keberkesanan tugasan atau latihan yang diberi kepada pelajar.
4. Pernyataan masalah
Sejauh manakah berkesannya pengajaran guru Prinsip Perakaunan di SMK Taman Melawati daripada persepsi pelajar?
5. Persoalan Kajian
5.1. Apakah persepsi pelajar terhadap persediaan mengajar guru Prinsip
Perakaunan?
5.2. Apakah persepsi pelajar terhadap penyampaian dan pengelolaan pengajaran
guru Prinsip Perakaunan?
5.3. Sejauh manakah tahap profesionalisme guru Prinsip Perakaunan
mempengaruhi keberkesanan pengajaran pembelajaran?
5.4. Adakah tugasan yang diberi kepada pelajar dapat memberikan pendedahan
yang mencukupi bagi melahirkan pelajar yang cemerlang?
6. Tinjauan literature
Guru diharapkan bukan sahaja setakat mengajar atau memberikan ilmu pengetahuan tetapi juga mendidik, iaitu membentuk sikap, nilai, dan akhlak manusia; memberikan contoh yang boleh dijadikan ikutan segala lapisan masyarakat; membawa pandangan-pandangan baru yang boleh membawa kepada perubahan dan kemajuan atau dalam lain perkataan, menjadi agen perubahan.
Selain daripada sikap yang sesuai terhadap ikhtisas perguruan, seseorang guru itu perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan. Adalah sesuatu perkara ganjil kalau seseorang guru yang hendak mengajar sesuatu pelajaran itu tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pelajaran tersebut.
Mengikut Atan Long (1986) kerja-kerja pengajaran hendaklah dirancang terlebih dahulu dengan teliti sebelum sesuatu pengajaran dilakukan. Rancangan pengajaran hendaklah dibuat sebelum persekolahan bermula. Persediaan mengajar hendaklah dibuat dengan terperinci dan alat-alat mengajar hendaklah disiapkan sebelum pengajaran dimulakan. Persediaan yang rapi akan menyebabkan pengajaran seseorang itu sistematik, teratur dan terarah, sesuatu persediaan mengajar menunjukkan apa yang telah dibuat, ke arah mana pelajar-pelajar akan dibimbing dan apakah kerja-kerja yang mesti dilakukan dalam unit pelajaran itu. Persediaan mengajar sepatutnya menceritakan dengan cara yang mudah apa yang akan dilakukan oleh guru, bagaimana pelajar dilibatkan dalam satu-satu masa dan bagaimana interaksi antara guru dengan pelajar berlaku (Atan Long, 1978).
Selain daripada penyampaian bahan yang menjadi fokus dalam pengajaran ialah cara penyampaian guru yang berstruktur dan menarik. Produktiviti guru hanya boleh dilihat dari segi kejayaan dalam menyampaikan pengajaran. Mereka juga membimbing pelajar ke arah perkembangan sahsiah yang baik. Khususnya, produktiviti guru dalam konteks ini dilihat dari segi keberkesanannya sebagai guru, kejayaannya dalam menyampaikan pengetahuan mengenai mata pelajaran tertentu, dan juga membimbing pelajar ke arah alam dewasa.
Mengikut Apelman (1986),
Productive teachers are those who can build a conducive learning climate in which students enjoy learning and can master what they are supposed to master. Teaching is looked upon as an art, and productive teachers are looked upon as artists who can motivate their students, and to nurture in them [the students] the interest to learn and find out more about the subject being taught. This can only be done when teachers know themselves as individuals and can adapt their own unique characteristics to the elements of the situation, and the context of their teaching (p. )
Adalah menjadi tugas guru untuk menyampaikan pengajaran dan juga mengembangkan pengajarannya untuk merealisasikan potensi pelajar semaksimum yang boleh. Keberkesanan guru perlu dilihat bukan sahaja dari segi kejayaannya menyampaikan pengajaran di bilik darjah dengan erti kata berjaya mengajar atau meliputi semua yang digariskan dalam sukatan pelajaran, tetapi juga kejayaannya untuk membimbing pelajar menguasai pelajaran itu, dan membangkitkan minatnya untuk mempelajari lebih dari yang disenaraikan dan memulakan proses penimbaan ilmu dalam bidang-bidang tersebut (Rahimah Haji Ahmad, 1992).
Tahap profesionalisme guru adalah penting dalam keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan profesionalisme ini haruslah meliputi semua aspek pengajaran dan kepimpinan guru di sekolah, dari tahap perancangan pelajaran, pengembangan pelajaran, dan akhirnya penilaian pelajar untuk melihat pembelajaran mereka. Guru juga haruslah sentiasa bersedia untuk menambah pengetahuan asasnya, pengetahuan dalam mata pelajaran, dan pengetahuan dan penemuan baru dalam alam pendidikan.
Melalui usaha peningkatan profesionalisme guru, guru akan mengenali dirinya sendiri, mengetahui kekuatan dan kelemahannya dan mengetahui cara gayanya sendiri untuk merealisasikan potensinya sebagai guru. Cara gaya ini pula perlu disesuaikan dengan kerenah pelajar – iaitu boleh lentur (Rosenshine, 1970).
Tugasan ialah istilah yang umum digunakan bagi semua kerja yang dilakukan oleh pelajar-pelajar berhubung dengan sesuatu pelajaran yang telah atau sedang dipelajari. Di dalam sesuatu pelajaran yang baik, guru tidak hanya mengajar dengan bercakap tetapi melibatkan pelajar-pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, penglibatan secara menggerakkan pelajar-pelajar dengan menarik perhatian, menyoal, dan menggunakan pengetahuan sedia ada, memberi tugasan dan kerja-kerja lanjutan juga merupakan satu cara penglibatan yang langsung daripada pelajar-pelajar. Sesuatu tugasan yang hendak diberikan kepada pelajar itu hendaklah relevan dengan pelajaran yang sedang diajar dan mempunyai objektif yang tertentu. Dengan mengetahui objektif sesuatu tugasan itu pelajar-pelajar akan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik (Atan Long, 1980).
7. Metodologi kajian
Sampel kajian terdiri daripada pelajar yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan di tingkatan 4 dan tingkatan 5. Saiz sampel ialah 18 orang, dipilih secara rawak daripada pelajar yang hadir ke sekolah pada bulan Oktober ( pada masa ini tidak ramai pelajar hadir ke sekolah kerana peperiksaan akhir tahun telah berakhir dan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia lebih gemar belajar sendiri di rumah).
Instrumen yang digunakan ialah soal selidik yang mempunyai dua bahagian, iaitu: Bahagian A yang mengumpul maklumat tentang profil pelajar melalui 2 item yang menanya maklumat jantina dan bangsa. Bahagian B pula mengandungi 26 item yang mengumpul maklumat tentang persepsi pelajar terhadap pengajaran guru.
Soal selidik menggunakan skala 5-poin dengan poin 1 bagi “sangat tidak setuju”, poin 2 bagi “tidak setuju”, poin 3 “berkecuali”, poin 4 bagi “setuju” dan poin 5 bagi “sangat setuju”. Poin 3 dikenal pasti sebagai pertengahan atau cut-off point. Poin ini mencerminkan kecenderungan pelajar untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak. Analisis data mengambil kira min untuk mengukur kecenderungan jawapan sampel bagi setiap soalan dalam soal selidik.
8. Kesignifikanan kajian
Dapatan kajian ini akan membantu guru Prinsip Perakaunan membuat persediaan dan penyesuaian pengajarannya dengan lebih berkesan. Dapatan kajian ini juga dapat membantu guru Prinsip Perakaunan meningkatkan pelaksanaan pengajaran sejajar dengan keperluan sekolah yang terkini. Guru Prinsip Perakaunan juga dapat disedarkan bahawa profesionalisme guru yang tinggi membantu meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.
9. Cadangan
Daripada hasil kajian dapat dirumuskan bahawa:sebahagian besar pelajar berpendapat bahawa persediaan mengajar guru adalah pada tahap sederhana tinggi. Namun begitu kajian mendapati bahan sokongan yang digunakan adalah kurang menarik dan mencabar kebolehan pelajar. Permulaan pengajaran guru juga didapati pada tahap sederhana. Selain daripada itu, pengajaran guru kurang mengikut rancangan kerja yang telah ditetapkan.
Secara amnya, keproaktifan guru terhadap persediaan mengajar adalah sederhana. Antara aspek-aspek yang didapati pada tahap sederhana ialah kemahiran dalam set permulaan, pengendalian kaedah, penggunaan sumber pengajaran dan aktiviti pengajaran. Oleh itu, penggunaan modul pengajaran dan pembelajaran dicadangkan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Untuk menjadi role model, guru Prinsip Perakaunan perlu meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam penggunaan sumber pengajaran yang pelbagai dan strategi pengajaran yang terkini. Guru Prinsip Perakaunan perlu menggunakan pelbagai startegi, memilih yang paling sesuai untuk digunakan dalam konteks tertentu dan menyesuaikannya jika perlu untuk kumpulan pelajar tertentu.
Sebahagian besar pelajar mendapati guru Prinsip Perakaunan mempunyai ciri-ciri profesionalisme yang sederhana tinggi. Walau bagaimanapun masih terdapat ruang untuk meningkatkan lagi sifat profesional di kalangan guru. Guru-guru Prinsip Perakaunan juga mempunyai ciri-ciri dan personaliti yang sederhana tinggi. Sebahagian besar pelajar berpendapat guru mempunyai kemahiran menyediakan tugasan pelajar pada tahap sederhana tinggi.
Guru Prinsip Perakaunan perlu meningkatkan kemahiran membantu pelajar memperoleh bahan-bahan rujukan di perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan laman web.
Kajian mendapati pengalaman guru Prinsip Perakaunan mengajar di sekolah dan pengalaman lama mengajar mampu mempengaruhi pendapat pelajar terhadap profesionalisme guru. Ini membawa implikasi bahawa guru Prinsip Perakaunan yang berpengalaman mampu melahirkan pelajar yang cemerlang (iaitu ramai pelajar yang mendapat gred 1A).
Kajian juga mendapati bahawa kursus Dalaman untuk guru Prinsip Perakaunan yang dijalankan oleh Panitia Prinsip Perakaunan mampu melahirkan guru berkesan. Keberkesanan pengajaran guru Prinsip Perakaunan adalah pada tahap sederhan tinggi. Hal ini bererti masih ada potensi memperbaiki pengajaran berkesan guru Prinsip Perakaunan ke tahap yang lebih baik. OECD (1994) menyenaraikan lima demensi untuk pengajaran berkesan, iaitu pengetahuan tentang bidang kurikulum dan kandungan substantif; kemahiran pedagogi, muhasabah diri untuk memperbaiki profesionalisme guru, empati terhadap pelajar dan kecekapan mengurus di dalam dan di luar bilik darjah.
Friday, April 07, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tahniah En. Sajoli di atas inisiatif anda membangunkan blog ini untuk anak anak murid anda. Tentu anak murid anda beruntung kerana mendapat guru yang rajin seperti anda.
Tidak seperti masa saya sekolah dahulu, kebanyakkan guru saya adalah "buta IT" .. sungguh menyedihkan.
Harap pihak Jabatan Pendidikan dapat meningkatkan kefahaman ilmu IT kepada semua guru guru di Malaysia.
Contohnye semasa saya menuntut di tingkatan 4 dan 5, saya mengambil bidang Informasi Maklumat. Apa yang menyedihkan saya, banyak kelemahan pada guru IT saya itu. Banyak benda dia tak tahu. Saya pula sebagai pelajar yg perlu memperbetulkan beliau. Siapa yang guru agaknye? saya atau dia.
Akhir kata tahniah buat anda dan diharap semua murid SMK Taman Melawati dapat memanfaatkan apa yang Cikgu Sajoli lakukan ini.
Terima Kasih.
Khai | scukz@yahoo.com | scukz.com
Cikgu,
I heard that you've left SMTM for a transfer to the Ministry. Congratulations! I'm sure the move is to your benefit.
Hilang lagi seorang guru berdedikasi. apalah agaknya rupa SMTM nanti ya... (sedih pun ada...walaupun saya tidak belajar di situ lagi)
Semoga terus maju!
Eliana Azyze
SMTM 1995-1999
Post a Comment