
LAPORAN KHAS PENDIDIKAN 2006 - 2010 (BAHAGIAN 3: Oleh WAHID HASHIM)
TERDAPAT dua atau tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian sebelum kerajaan terus `melambakkan' komputer di sekolah.
Pertama, pastikan aplikasi perisian dan perkakasan bukanlah teknologi lapuk yang sentiasa perlu ditukar ganti; kedua, pastikan kurikulum dan perisian kursus mesra teknologi dan; ketiga, melihat keperluan nisbah pelajar dengan bilangan komputer.
Selain itu, apakah teknologi sokongan sedia ada menyokong teknologi 10 atau 20 tahun akan datang, iaitu sama ada teknologi pengurusan sekolah dan kurikulum yang disediakan sebelum ini masih boleh digunakan, atau perlu dicampak sahaja ke bakul sampah.
Aspek latihan juga perlu diambil kira, setelah semua guru mengikuti program latihan acuan Prestariang sejak beberapa tahun lalu, maka kini masanya mereka melaksanakan program pembestarian sekolah.Sekurang-kurangnya guru sudah boleh melaksanakan perintah copy, paste, membuat power point dan sebagainya.
Penjenamaan Sekolah Bestari sudah berkubur, dan kini diganti dengan pembestarian sekolah, yang akan memutikkan beberapa perkara berkaitan seperti kafe siber, makmal komputer generasi kedua (Gen-2), kadar celik komputer yang tinggi serta berkemahiran mengakses sumber pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Guru bestari pada RMK-9 diharap tidak lagi menjadi tikus makmal yang terus-terusan menjadi bahan uji kaji, sebaliknya, sekarang mereka ialah penggerak utama yang akan memandu hala tuju dan gerak kerja program pembestarian sekolah.
Mereka ialah kumpulan fokus yang bakal menetapkan penanda aras dan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang tepat dan jelas dalam setiap agenda, program dan projek kementerian. Guru bestari perlu dilibatkan dalam Jawatankuasa Maklumat Perkomputeran Kementerian (JMPK) yang akan melihat aspek teknikal usaha penyelarasan inisiatif itu, sama ada dari segi perkakasan dan aplikasi, perisian dan kandungan atau latihan guru.
Melalui usaha penyelarasan dan penanda arasan ini, hanya model pembestarian yang terbaik sahaja diperluaskan. Di negara-negara maju, kajian terhadap kesan penggunaan komputer di sekolah sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa, dan kemudian diterbitkan dalam bentuk buku, dan dijual di pasaran terbuka.
Di England, kajian seperti itu diadakan secara tahunan sejak 1998. Sebagai contoh, mereka mendapati sasaran kerajaan untuk menetapkan nisbah bilangan komputer kepada pelajar pada 1:5 di sekolah menengah dan 1:8 di sekolah rendah telah tercapai sejak 2004. Jadi ini bermakna tidak perlu lagi membekalkan komputer ke sekolah. Persoalannya sekarang ialah;
- Adakah kita sudah mencapai sasaran kita?
- Kenapa komputer di sekolah tidak pernah mencukupi?
- Apakah keperluan kita sekarang? masih di tahap melengkapkan sekolah dengan komputer?
Langkah pertama usaha Pembestarian Sekolah di Malaysia akan bermula di 88 buah sekolah yang terlibat dalam projek rintis Sekolah Bestari sejak tahun 1999 sehingga 2002. Sebanyak 88 buah sekolah ini akan dijadikan penanda aras kepada usaha Pembestarian Sekolah yang akan dilaksanakan oleh KPM mulai tahun ini sehingga tahun 2010.
Bagi membantu proses pembestarian dilaksanakan secara cekap dan efektif kos, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan audit menyeluruh semua inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)nya, sama ada aspek P&P atau pengurusan dan automasi. Aspek P&P meliputi program Komputer dalam pendidikan dan makmal komputer, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Program Rintis Sekolah Bestari, School-Net dan TV Pendidikan.
Kita perlu bijak dalam merangka strategi ICT di sekolah. Kebijaksanaan kita perlu bermula daripada mengatur langkah awal sehingga ke tahap implementasinya. Kita juga perlu bersikap peka kepada perkara-perkara yang detail. Sebagai contoh, adakah kita selalu merasakan bahawa makmal perlu dibina di semua sekolah? Pernahkah kita berfikir bahawa makmal hanya sesuai di sekolah rendah, sementara di sekolah menengah komputer sepatutnya diletak di dalam bilik darjah?
Amalan di sini dan di negara maju berbeza. Di sini makmal diletakkan di dalam bilik khas (makmal komputer) dan di pasang jeriji. Jika tidak dipasang jeriji, komputer akan dicuri walau ada pengawal keselamatan mengawasi 24 jam. Di England, sekolah, diberi kebebasan dalam hal ini, bergantung kepada keupayaan dan faktor keselamatan di kawasan masing-masing. Di Korea Selatan, teknologi ICT merentasi batas Internet dan aplikasi komputer apabila program kejuruteraan di sekolah menengah turut menggunakan telefon bimbit berkamera. Sebagai contoh, di Seoul, beberapa jambatan merentasi ibu negara itu sering menjadi fokus kerja lapangan pelajarnya dan mereka berkomunikasi dengan guru atau rakan sebaya melalui telefon bimbit.
Di Malaysia, status kita tidaklah seteruk mana. Hampir semua sekolah rendah dan menengah di negara ini telah dibekalkan dengan komputer dan talian Internet.Penulis sendiri kagum apabila baru-baru ini mendapati Sekolah Kebangsaan (SK) Chini dan SK Runchang - kedua-duanya sekolah Orang Asli di kawasan pedalaman Pahang - telah dilengkapi dengan komputer dan talian Internet.
Kalau melihat kepada keadaan ini, mungkin keperluan selepas ini ialah membekalkan sekolah dengan papan elektronik interaktif (interactive whiteboards) atau peripherals lain.Di England, penggunaan papan elektronik meningkat di sekolah rendah dan menengah. Di Malaysia, kalau P&P yang menjadi pertaruhan, maka tentulah menyediakan kafe siber tidak sepenting menyediakan papan elektronik interaktif.Sekali lagi, kita perlu mengkaji dengan mendalam untuk melakukan pelaburan yang cukup banyak. Mungkin kita perlu lebih banyak mengadakan - atau menghadiri - pameran inovasi pendidikan bertaraf antarabangsa, supaya minda lebih terbuka.
No comments:
Post a Comment