Tuesday, January 31, 2006

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI

TAJUK: PEMIMPIN MEMBINA
Oleh : En.Sajoli Bin Haji Masdor
(Dibentangkan pada 12 Januari 2006 di Mesyuarat Badan Pengawas SMK Taman Melawati, Dewan Besar SMK Taman Melawati)


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah di atas pelantikan para pelajar yang dikasihi sebagai pengawas sesesi 2006. Pelantikan ini hendaklah dilihat sebagai satu amanah dan kepercayaan yang disandarkan oleh pihak sekolah kepada para pengawas untuk menguatkuasakan disiplin sekolah di kalangan rakan para pelajar yang berjumlah lebih kurang dua ribu lebih. Tugas dan tanggungjawab sebagai pengawas hendaklah dijalankan dengan penuh ikhlas dan penuh dedikasi.

Pengawas dikategorikan sebagai pemimpin di kalangan rakan pelajar. Memimpin rakan pelajar ke arah tingkah laku yang baik dan menyumbang kepada peningkatan prestasi dari segi kurikulum dan kokurikulum. Ini sudah tentu akan mengharumkan nama SMK Taman Melawati sama ada di peringkat zon, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Pada pemikiran saya, pemimpin dapat dikategorikan kepada dua jenis. Pertama pemimpin membina dan kedua pemimpin membunuh. Sebelum saya menjelaskan dengan lebih terperinci dua jenis kepimpinan itu, adalah lebih baik dinyatakan apakah itu pemimpin? Pemimpin ialah seseorang yang berkeupayaan mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk menggalakkan mereka bekerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan. Konsep pemimpin dalam Islam meliputi seluruh bentuk dimensi kepimpinan. Pemimpin bermula daripada konsep kepimpinan individu dengan individu, dan kepimpinan individu dengan masyarakat yang akhirnya akan membina masyarakat dan negara. (Lukman Thaib, 1998)


Pemimpin membina bermaksud seorang pemimpin yang boleh mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi. Pihak yang menerima arahan akan melakukan tugas atau tingkah laku yang dikehendaki tanpa unsur paksaan. Pemimpin jenis ini lebih berminat ke arah pencegahan tentang sesuatu fenomena dengan cara memberi maklumat, mendekati orang bawahan, dan memberi bimbingan untuk membolehkan orang bawahannya berjaya dengan cemerlang. Hukuman merupakan jalan terakhir yang akan diambil bagi pemimpin jenis ini. Implikasinya pemimpin jenis ini lebih di gemari oleh orang bawahan dan akan wujud tingkah laku-tingkah laku yang dikehendaki secara semula jadi. Mereka akan menyumbang kepada pencapaian matlamat organisasi dengan lebih mudah.

Oleh itu, para pengawas boleh mengaplikasikan pemimpin membina dengan cara mempengaruhi rakan pelajar mematuhi disiplin sekolah dan menerangkan rasional seseorang pelajar perlu mematuhi disiplin sekolah. Sebagai contoh, jika pengawas mengetahui rakan pelajar merokok, tindakan yang boleh diambil ialah pendedahan maklumat kesan buruk merokok kepada kesihatan atau kewangan individu. Mungkin badan pengawas dengan kerjasama panitia Bahasa Melayu menganjur pertandingan pidato kesan buruk merokok kepada kesihatan.

Pemimpin membina akan bertindak menghampiri rakan pelajar yang bermasalah ( kerap melanggar disiplin ). Mengkaji apakah faktor utama yang menyebabkan rakan pelajar memilih tingkah laku yang kurang matang dan memudaratkan diri sendiri. Jika rakan pelajar kurang menyerlah dalam akademik, maka pengawas boleh membantu dengan mempelawa rakan pelajar tadi menyertai kumpulan perbincangan untuk sama-sama membuat latihan atau tugasan yang diberi oleh guru.

Jenis pemimpin membunuh ialah mereka yang menjalankan tugas dengan taksub kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan, tanpa budi bicara dan kebijaksanaan menganalisis adakah tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah tingkah laku dalam jangka pendek atau jangka panjang. Setiap kesalahan yang dilakukan oleh rakan pelajar akan menerima markah demerit tanpa memberi amaran atau nasihat. Implikasinya sudah tentu timbul rasa tidak puas hati dan dendam di kalangan rakan pelajar. Lazimnya rakan pelajar akan terus mencabar peraturan-peraturan sekolah sebagai tanda protes. Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘semut mati kerana gula’.

Pemimpin membunuh akan melabel golongan rakan pelajar yang pernah melakukan kesalahan disiplin sekolah sebagai mereka yang tidak mempunyai harapan untuk berjaya. Seolah-olah tidak ada harapan untuk seseorang itu berubah dari segi tingkah laku yang baik. Pada pendapat saya, semua orang inginkan tingkah laku yang baik tetapi faktor kematangan, rakan sebaya,keluarga dan persekitaran merupakan pengaruh ke arah tingkah laku yang tidak sihat. Pemimpin jenis ini lazimnya mengamalkan ‘double standard’, iaitu dia boleh melakukan tingkah laku yang kurang menyenangkan manakala rakan pelajar tidak boleh melakukan tingkah laku itu. Sebagai contoh pengawas datang lewat tiada tindakan merekodkan nama mereka manakala rakan pelajar di arahkan berbaris untuk proses merekodkan nama mereka. Tindakan ini menyebabkan rakan pelajar kurang rasa hormat kepada pengawas. Timbul rasa tidak puas hati dan protes.

Pemimpin membunuh gagal melahirkan lebih ramai pemimpin di kalangan rakan pelajar. Implikasinya ialah berlaku ketandusan pemimpin pada masa hadapan dalam organisasi itu. Tiada dorongan orang bawahan untuk menjadi pemimpin kerana contoh dan teladan yang dipamerkan oleh golongan pemimpin jenis ini merupakan mimpi ngeri dan penuh dengan hipokrasi (kepura-puraan).

Akhir kata, saya berharap dua jenis pemimpin yang telah dibincangkan dapat membuka minda atau pemikiran yang logik, rasional, kritis dan kreatif di kalangan para pengawas. Saya serahkan kepada anda (pengawas) untuk memilih jenis pemimpin yang akan mempengaruhi perwatakan dan keperibadian. Kemungkinan kita akan mengambil kira ke dua- dua jenis pemimpin tersebut secara seimbang.

Saya sudahkan ucapan saya ini dengan perkara yang baik itu datang daripada Allah SWT dan perkara yang tidak baik itu datangnya dari kedaifan pemikiran saya. Selamat menjalankan tugas dan wassalam.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI
Oleh: Sajoli Hj.Masdor

BUKU TEKS PRINSIP PERAKAUNAN

Mohd Fairuz Bin Md. Salleh dan Norida Binti Basnan dan Haizan Binti Zakarian. (2003), Prinsip Perakaunan Tingkatan 5, Kualan Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Loh Lan. (2003), Prinsip Perakaunan Tingkatan 4, Kuala Lumpur: Edusystem Sdn.Bhd


BUKU RUJUKAN TAMBAHAN

Ahmad Raflis Che Omar, bany Ariffin dan Mohamad Abdul Hamid. (2003), Mengurus kewangan, Pahang: PTS Publications Sdn. Bhd.

Barjoyai Bardai dan Mohd Yussoff Ibrahim. (1993), Perakaunan Jilid II, Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

David S.H. Ng. (2003), Financial Management Strategy, Selangor: Pelanduk.

Frank Wood. (2003), Perakaunan Perniagaan – Bahagian 1 (Edisi 3), Petaling Jaya: Longman.

Jane Lazar. (2003), How To Read Financial Statements, Petaling Jaya: Leeds Publications.

Khalid Ismail, Ibrahim Tamby Chek dan Baharudin Omar. (2005), Rancangan Mengajar Prinsip Perakaunan Tingkatan 4, Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

Khalid Ismail, Ibrahim Tamby Chek dan Baharudin Omar. (2005), Rancangan Mengajar Prinsip Perakaunan Tingkatan 5, Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

Kementerian Kewangan Malaysia. (2005), Laporan Ekonomi 2004/2005, Putra Jaya: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Loren A. Nikolai, John D. Bazley dan James C. Stallman. (1992), Prinsip Perakaunan. (Terjemahan Nor Hasimah Ali dan Noorlela Hassan), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roberrt C. Higgins. (1996), Analisis Pengurusan Kewangan (Edisi 3),(Terjemahan Zulkifli Salleh), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yong S.M dan Sadali Mahmud. (1973), Simpan Kira untuk Sekolah Menengah, Petaling Jaya: Kam Siew Cheng.

Yong S.M dan Sadali Mahmud. (1973), Prinsip Perakaunan, Petaling Jaya: Kam Siew Cheng.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI
Dapatan Penyelidikan Kaedah Pembelajaran Koperatif
Oleh : En.Sajoli Hj.Masdor


Apa Itu Pembelajaran koperatif?

Menurut Robert Slavin (1990), definisi pembelajaran koperatif ialah semua kaedah pembelajaran yang memerlukan pelajar bekerjasama untuk belajar dan bertanggungjawab ke atas rakan-rakan sepasukan mereka selain daripada pembelajaran mereka sendiri. Selain itu, kaedah pembelajaran koperatif memberi penekanan kepada matlamat pasukan dan kejayaan pasukan, di mana ia hanya boleh dicapai sekiranya semua ahli dalam pasukan memahami objektif yang diajar.

Terdapat tiga konsep utama dalam kaedah pembelajaran koperatif, iaitu ganjaran pasukan, akauntabiliti individu dan peluang yang sama untuk berjaya. Pasukan mungkin mendapat sijil atau ganjaran pasukan lain sekiranya mereka mencapai lebih daripada apa yang ditetapkan. Akauntabiliti individu bermakna kejayaan pasukan bergantung kepada pembelajaran setiap individu yang merupakan ahli dalam pasukan memberikan fokus kepada aktiviti ahli-ahli pasukan mengajar antara satu sama lain dan memastikan semua orang dalam pasukan bersedia untuk mengambil ujian atau sebarang penilaian lain tanpa menerima bantuan rakan sepasukan mereka. Peluang sama untuk berjaya bermakna pelajar menyumbang kepada pasukan mereka sendiri dengan memperbaiki prestasi masa lampau. Cara ini akan menjamin semua pelajar berprestasi tinggi, sederhana dan rendah berusaha untuk memberi prestasi yang terbaik dan sumbangan kesemua ahli pasukan dihargai.

Manakala Neil Davidson (1990) mengatakan yang pembelajaran koperatif haruslah mempunyai asas – asas berikut; Pertama, tugasan yang mesti disiapkan, dibincangkan dan membuat kesimpulan secara berkumpulan. Kedua, interaksi muka ke muka dalam kumpulan kecil. Ketiga, suasana bekerjasama dan saling membantu dalam setiap kumpulan. Keempat, akauntabiliti individu (semua orang membuat bahagian masing-masing). Kelima, kumpulan bersifat heterogenus. Keenam, pengajaran kemahiran bekerjasama yang eksplisit. Ketujuh, ialah saling pergantungan yang tersusun.

Johnson-Johnson (1999) mengenal pasti lima komponen penting pembelajaran koperatif iaitu kesalingbergantungan, interaksi antara pelajar-pelajar yang saling menyokong, akauntabiliti individu kepada kumpulan, kemahiran sosial dan bekerja berpasukan dan ahli-ahli kumpulan menilai tahap pencapaian kumpulan dan membuat keputusan mengenai proses-proses kumpulan. Kagan (1994) mengenal pasti empat konsep yang memberi bentuk kepada pembelajaran koperatif iaitu kesalingbergantungan, akauntabiliti individu, penyertaan
seimbang dan interaksi serentak.

Kajian-kajian pembelajaran koperatif di luar Negara

Berdasarkan analisis kajian-kajian literatur oleh Slavin (1983), beliau mendapati 63.0 peratus menunjukkan dapatan yang memihak kepada pembelajaran koperatif, 33.0 peratus tidak menunjukkan sebarang perbezaan, sementara hanya 4.0 peratus menunjukkan pencapaian yang lebih baik di dalam kumpulan pembelajaran tradisional. Peningkatan pencapaian ditunjukkan di dalam kebanyakan ( 89 peratus ) kajian yang menggunakan ganjaran secara berkumpulan (group reward) untuk pencapaian individu. Pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian terendah dan pelajar-pelajar minoriti secara amnya menerima manfaat terbanyak, tetapi manfaat yang diterima oleh kumpulan berpencapaian rendah ini tidaklah menjejaskan kumpulan pencapaian tinggi. Kumpulan pencapaian tinggi ini menunjukkan prestasi setanding atau melebihi kumpulan pencapaian rendah di dalam suasana pembelajaran koperatif.

Dapatan yang konsisten di dalam kajian-kajian pembelajaran koperatif menunjukkan peningkatan yang lebih baik dari segi perhubungan etnik di kalangan pelajar-pelajar. Di dalam kajian yang melibatkan seribu pelajar dan satu juta bit data, peningkatan di dalam perhubungan etnik lebih menonjol berbanding hasil yang lain di dalam pembelajaran koperatif (Kagan dan Associates, 1985). Selain itu, dapatan-dapatan kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara pelajar-pelajar di dalam persekitaran pembelajaran koperatif berbanding kaedah pembelajaran kompetitif dan perseorangan, dari segi pengumpulan dan mengingati lebih maklumat.

Dapatan ini turut disokong oleh Sherman & Thomas (1986); Johnson & Ahlgren (1976); Humphreys, Johnson & Johnson (1982); Tjosvold, Marine dan Johnson (1977). Kanevsky (1985) dalam kajian di sebuah sekolah rendah telah menilai sebuah program pembelajaran untuk pelajar pintar gred 3 dan 4. Kesan tiga pendekatan pengajaran yang berlainan dibandingkan. Ianya melibatkan tiga kumpulan, iaitu tradisional, koperatif dan kompetitif yang dipilih secara rawak untuk mata pelajaran matematik. Di dalam setiap kumpulan, pelajar-pelajar gred 3 dan 4 bekerja secara berpasangan untuk menyelesaikan tugasan matematik dalam masa 15 minit sehari selama sepuluh hari. Para peserta diarahkan untuk memperbaiki skor individu dan kumpulan masing-masing. Pencapaian pembelajaran dan minat bekerja secara koperatif berbanding individu atau kompetitif digunakan sebagai pemboleh ubah hasil. Situasi pembelajaran kompetitif, koperatif dan tradisional didapati menghasilkan tahap pembelajaran yang setanding. Selain dari itu, pelajar-pelajar di dalam suasana kompetitif menunjukkan kecenderungan yang lebih untuk belajar berbanding dengan
para pelajar di dalam suasana koperatif.

Sharan dan Shachar (1988) telah mengkaji 351 orang pelajar gred lapan di sebuah sekolah menengah rendah di Israel untuk menentukan sama ada pelajar-pelajar di dalam kelas yang menggunakan pendekatan kajian berkumpulan (group investigation approach) di dalam pengajaran menunjukkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding rakan-rakan yang menggunakan teknik pengajaran konvensional. Kajian juga cuba memastikan sama ada kumpulan kajian ini menunjukkan lebih 43 interaksi lisan di antara satu sama lain berbanding dengan kumpulan kawalan. Dapatan kajiannya menunjukkan yang bukan sahaja kumpulan kajian memperoleh prestasi akademik yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan, malah kumpulan kajian ini didapati lebih berinteraksi di dalam kumpulan, lebih fokus di dalam menyelesaikan masalah dan menggunakan bahasa yang lebih sofistikated.

Sharon dan Shachar juga mendapati perkara ini berlaku disebabkan pelajar-pelajar di dalam kumpulan koperatif mempunyai lebih peluang untuk berlatih menggunakan strategi-strategi lisan dan kognitif seperti yang digunakan oleh guru mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ini berlainan dengan kumpulan kawalan yang turut mendengar strategi lisan dan kognitif yang sama tetapi tidak berpeluang untuk mempraktikkannya, lantas ianya tidak memberikan kesan yang sama seperti kumpulan kajian. Pada dasarnya, pelajar-pelajar memerlukan lebih peluang untuk berinteraksi di antara satu sama lain agar mereka dapat memahami dunia mereka dengan lebih baik dan memperoleh cara-cara baru untuk melahirkan fikiran dan perasaan mereka.

Terwel et al. (1988) telah menjalankan kajian di sebuah sekolah menengah di Belanda dengan saiz sampel seramai 763 orang pelajar. Idea-idea Freudenthal diuji melalui pembentukan, pelaksanaan dan penilaian kurikulum matematik sekolah menengah di negara tersebut. Penilaian dilakukan oleh sepasukan penyelidik di Universiti of Ultrecht di bawah projek yang dikenali sebagai 1D 12-16. melalui projek ini, pelajar-pelajar di dalam kumpulan-kumpulan eksperimental (kumpulan pembelajaran koperatif) didapati mengatasi pencapaian pelajar-pelajar di dalam kumpulan kawalan (effect size = 0.22); walau bagaimanapun, pelajar-pelajar berpencapaian rendah mendapatkan kurang manfaat di dalam kumpulan pembelajaran koperatif berbanding pelajar-pelajar berpencapaian tinggi.

Elmore dan Zenus (1994) dalam kajian di sebuah sekolah rendah telah menilai program yang melibatkan 30 pelajar pintar gred 6 yang mempelajari mata pelajaran aritmetik secara berkumpulan. Kumpulan-kumpulan ini dibahagikan mengikut “Jigsaw II”: Modifikasi Slavin ke atas Jigsaw yang asal. Selain dari itu, peserta-peserta dilatih dari segi kemahiran koperatif seperti memberi galakan kepada ahli-ahli kumpulan, mendengar secara efektif dan memberi dan meminta bantuan. Perubahan sebelum dan selepas kajian diukur untuk menilai pencapaian aritmetik, harga diri dan kemahiran sosial. Perubahan-perubahan yang ditunjukkan adalah positif dan ahli kumpulan berpencapaian terendah menerima manfaat terbanyak daripada corak pembelajaran koperatif ini. Namun demikian, sama ada faktor pembelajaran koperatif atau tambahan latihan di dalam kemahiran sosial yang mempengaruhi dapatan ini adalah tidak jelas.

Dua lagi kajian melibatkan pelajar pintar cuba mengkaji sama ada pelajar pintar patut belajar di dalam kumpulan homogenus atau bersama-sama pelajar kurang pintar di dalam kumpulan heterogenus. Smith et al. (1982) dalam kajian di sekolah rendah telah melibatkan 14 pelajar pintar yang dikenal pasti daripada sejumlah 55 orang pelajar gred 6. Pelajar-pelajar ini belajar sama ada secara persendirian ataupun di dalam kumpulan heterogenus yang terdiri daripada 4 orang di mana sekurang-kurangnya seorang ialah pelajar pintar. Selama 5 hari berturut-turut, pelajar-pelajar menggunakan satu kaedah instruksi di dalam ekologi (topik “conservation” dan penggunaan tanah). Interaksi rakan sebaya digunakan sebagai pemboleh ubah proses, sementara untuk mengukur pemboleh ubah hasil, “retention performances” dan kemahiran penyelesaian masalah digunakan. Pembelajaran koperatif di dalam kumpulan yang heterogenus menunjukkan lebih interaksi positif dan prestasi pembelajaran yang lebih baik berbanding pembelajaran secara persendirian.

Kajian Kenny (1995) dalam kajian di sekolah rendah telah melibatkan 229 pelajar pintar dan 557 pelajar kurang pintar dari gred 4. Pelajar-pelajar pintar belajar sama ada di dalam kumpulan homogenus bersama-sama pelajar-pelajar pintar yang lain atau di dalam kumpulan bercampur bersama-sama dengan rakan-rakan yang kurang pintar. Pencapaian pembelajaran dan pemboleh ubah-pemboleh ubah sosial emosional seperti sikap terhadap rakan sebaya dan harga diri (self esteem) diukur sebagai pemboleh ubah hasil (outcome variables). Prestasi pelajar-pelajar pintar di dalam kedua-dua situasi tersebut adalah setanding. Dari segi lain, pembelajaran di dalam kumpulan heterogenus lebih efektif untuk pelajar-pelajar pintar. Selepas pengalaman belajar di dalam kumpulan heterogenus, mereka dianggap lebih mudah didekati dan pemimpin yang lebih baik oleh rakan-rakan. Di samping itu, ciri-ciri sosial pelajar-pelajar pintar di dalam kumpulan heterogenus juga menjadi lebih positif berbanding dengan mereka di dalam suasana pembelajaran secara individu.

Farivar dan Webb (1993) merumuskan bahawa pembelajaran koperatif yang dirancang dan disusun rapi dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam kumpulan pencapaian tinggi dan rendah. Mereka mendapati bahawa apabila pelajar cuma memberi jawapan bagi masalah matematik kepada rakan sekumpulan, kedua-dua pelajar pencapaian tinggi dan rendah tidak mendapat apa-apa faedah. Sebaliknya, jika mereka diminta memberi penjelasan bagaimana menyelesaikan masalah, kedua-dua pemberi dan penerima akan mendapat faedah.

Stevens dan Slavin (1995) mengkaji pencapaian 72 pelajar yang mempunyai kelemahan akademik di dalam kumpulan koperatif dan 65 pelajar di dalam kumpulan kawalan (comparison groups) yang terlibat di dalam kelas khas (pull-out programs) di sebuah sekolah menengah untuk tempoh dua tahun. Dapatan kajian telah membuktikan yang pelajar-pelajar di dalam kumpulan koperatif mencapai prestasi yang lebih baik di dalam kebolehan membaca, pemahaman dan ekspresi sesuatu bahasa. Walau bagaimanapun, tiada maklumat diberikan tentang bagaimana pelajar-pelajar ini menolong satu sama lain ataupun corak bantuan yang diberikan semasa mereka bekerja secara berkumpulan. Malah, hanya satu kajian yang menyelidik secara khusus kesan-kesan pengalaman pembelajaran ke atas interaksi pelajar-pelajar semasa mereka bekerja di dalam kumpulan bersama-sama pelajar-pelajar yang mempunyai kelemahan intelektual.

Gillies dan Ashman (1997) dalam kajian melibatkan tiga kelas pelajar yang dipilih secara rawak dari sebelas buah sekolah di Brisbane, Australia mendapati bahawa, apabila pelajar-pelajar berlainan kebolehan (tinggi, sederhana dan rendah) dilatih untuk bekerja di dalam kumpulan heterogenus, mereka secara konsistennya lebih koperatif dan memberi input yang lebih berguna kepada rakan berbanding dengan kumpulan yang lain. Apabila interaksi pelajar-pelajar dianalisis mengikut tahap kebolehan, pelajar-pelajar berkebolehan tinggi, seperti yang dijangkakan memberi penjelasan yang lebih kepada pelajar-pelajar lain. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar kumpulan sederhana dan rendah juga aktif di dalam kumpulan dan memberi lebih input berbanding dengan rakan setaraf di dalam kumpulan yang tidak dilatih. Tambahan lagi, pelajar-pelajar di dalam kumpulan kajian menunjukkan hasil pembelajaran yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan.

Secara amnya, Fuchs et al. (1994) dan Gillies et al. (1997) telah membuktikan yang pelajar-pelajar berpencapaian rendah boleh berinteraksi secara efektif di dalam kumpulan dan interaksi ini memberi mereka lebih pemahaman ke atas kandungan bahan pelajaran (content material). Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang kajian yang secara khususnya mengkaji interaksi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran di dalam kumpulan koperatif – terutamanya interaksi yang membantu pembelajaran.


Rosini B. Abu (1997) dalam kajian di North Carolina dan melibatkan sampel kajian seramai 197 orang pelajar Ekonomi Rumah tangga dalam kursus makanan dan pemakanan cuba mengukur keberkesanan kaedah koperatif terhadap pencapaian, penahanan maklumat (ingatan) dan sikap dalam mata pelajaran Ekonomi Rumah tangga. Persoalan-persoalan kajian berikut menjadi titik tumpu untuk kajian ini:Adakah perbezaan dari segi pencapaian pelajar-pelajar yang diajar menggunakan kaedah pembelajaran koperatif berbanding dengan kaedah yang lain?; Adakah perbezaan dari segi penahanan maklumat pelajar-pelajar yang diajar menggunakan kaedah pembelajaran koperatif berbanding dengan kaedah yang lain? ; Adakah perbezaan dari segi sikap pelajar-pelajar yang diajar menggunakan kaedah pembelajaran koperatif berbanding dengan kaedah yang lain? Dapatan kajian menunjukkan pendekatan pembelajaran koperatif tidak lebih atau tidak kurang signifikan terhadap pencapaian, penahanan maklumat pelajar – pelajar yang mengambil mata pelajaran ekonomi rumah tangga berbanding dengan pendekatan bukan koperatif.

Bernero dan Jacqueline (2000) dalam kajian ke atas dua puluh lima orang pelajar keturunan Hispanic dan pelajar kulit hitam kelas gred 2 di selatan Amerika Syarikat mendapati bahawa kebanyakan kelas peringkat rendah, mata pelajaran matematik dipelajari secara individu dengan penumpuan kepada tugasan-tugasan bertulis yang diulang-ulang. Kajian mereka cuba untuk menghasilkan lebih minat kepada matematik, mengurangkan keresahan menghadapi matematik, dan membuat matematik lebih menyeronokkan di kalangan pelajar. Melalui penggunaan pembelajaran koperatif, pelajar-pelajar berlatih dan membina kemahiran sosial yang diperlukan untuk melakukan tugasan dan projek dengan jaya. Setiap kumpulan membuat laporan tentang bagaimana mereka bekerjasama di dalam kumpulan dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan lebih baik. Pembelajaran koperatif menggalakkan interaksi kumpulan melalui peranan khusus, di mana setiap pelajar berkongsi tanggungjawab. Dapatan kajian menunjukkan yang penggunaan pembelajaran koperatif meningkatkan minat di dalam matematik dan membuatkan pembelajarannya lebih menyeronokkan untuk pelajar dan guru. Pelajar-pelajar menunjukkan peningkatan akademik, sosial dan harga diri. Tugasan dan peranan khusus sebagai ahli kumpulan memberikan lebih rasa tanggungjawab terhadap
kumpulan dan kerja.

Vaughan dan Winston (2002) dalam kajian di Bermuda dan melibatkan sekumpulan pelajar gred 5 telah mengkaji kesan-kesan pembelajaran koperatif ke atas pencapaian dan sikap terhadap mata pelajaran matematik. Pelajar-pelajar mengambil bahagian di dalam kajian 12 minggu kaedah pembelajaran koperatif matematik R.Slavin 1978. Pelajar-pelajar menghabiskan dua tahap: bahagian pengiraan dan aplikasi California Achievement Test (1985) from E (Level 14) dan Penelope Peterson’s Attitude Toward Mathematics Scale for Grades 4 – 6 students pada empat jangka masa berlainan. Pelajar-pelajar diuji pada awal semester (sebelum pendedahan kepada pembelajaran koperatif) dan pada akhir minggu ke-5, ke-9 dan ke-13. Data dianalisis menggunakan kaedah “1-factor (4 level) repeated measures analysis of variance” untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan signifikan di dalam markah pra ujian dan pos ujian. Dapatan menunjukkan hasil yang positif dari segi sikap dan
pencapaian pelajar.

Cynthia Miglietti (2002) telah menggunakan sampel kajian seramai 246 pelajar kursus Pengenalan Perakaunan di sebuah kampus cawangan di wilayah Midwestern, Amerika Syarikat. Objektif kajian ialah untuk mengukur keberkesanan penggunaan kumpulan koperatif kecil ke atas pencapaian pelajar. Beliau mengumpul keputusan peperiksaan di dalam kursus pengenalan perakaunan dari 1998 hingga 2001. Beliau mendapati bahawa terdapat tahap korelasi (didominasi oleh keputusan ujian) di antara ujian dan kumpulan (TG); ujian, kumpulan dan individu (TGI); dan ujian, kumpulan, individu dan rakan sebaya (TGIP). Penemuan ini lebih signifikan memandangkan saiz subjek yang besar. Keputusan individu sahaja tidak mempunyai korelasi yang tinggi dengan keputusan ujian atau kumpulan. Beliau merumuskan yang penggunaan kumpulan koperatif yang kecil di dalam kelas pengenalan perakaunan meningkatkan pencapaian pelajar.

Kajian-kajian pembelajaran koperatif di Malaysia

Nor Azizah Salleh, Siti Rahayah Ariffin dan Musa Daia (2002) telah menggunakan sampel kajian seramai 990 orang pelajar tingkatan dua daripada 12 buah sekolah di Selangor. Objektif kajian ialah mengukur sejauh manakah pembelajaran koperatif dalam mata pelajaran sains dapat menerapkan nilai murni iaitu sikap bekerjasama, berdikari, kasih sayang, kebersihan mental, kebersihan fizikal, kejujuran, kerajinan dan rasional. Alat kajian yang digunakan adalah soal selidik pelajar (ujian pasca dan pra), pemerhatian guru dan temu bual pelajar. Kaedah kuasi eksperimen dijalankan dengan mengambil dua buah kelas dari setiap sekolah sebagai subjek kajian di mana sebuah dijadikan kelas eksperimen dan sebuah lagi dijadikan kelas kawalan. Kelas eksperimen diajar mengikut struktur kumpulan koperatif STAD dan Jigsaw 2, sementara kelas kawalan diajar secara tradisional. Tempoh masa mengajar ialah enam minggu dan mata pelajaran yang diajar adalah sains KBSM. Data yang dikumpulkan dianalisis dengan menggunakan ujian-t, min, kekerapan, sisihan piawai dan peratus. Dapatan kajian menunjukkan semua nilai murni dapat diterapkan secara signifikan (p<0.05)>
Kesimpulan

Berdasarkan kajian-kajian literatur yang diketengahkan di atas, didapati bahawa majoriti dapatan kajian menunjukkan yang pembelajaran koperatif dapat meningkatkan pencapaian akademik para pelajar di dalam pelbagai peringkat umur, kaum dan pencapaian meliputi pelbagai mata pelajaran (Slavin, 1981: Humphreys, Johnson & Johnson, 1982; Smith et al, 1982; Kenny, 1995; Farivar & Webb, 1993; Stevens & Slavin, 1995; Gillies & Ashman, 1997; Fuchs et al, 1994; Bernero & Jacqueline, 2000; Ahmad Zaidi Johari dan Lee Fui Nyee, 2001; Vaughan & Winston, 2002; Cynthia Miglietti, 2002; Nor Azizah Salleh, Siti Rahayah Ariffin dan Musa Daia, 2002; Suhaida Abdul Kadir, 2002).

Walau bagaimanapun, terdapat juga hasil kajian yang menunjukkan perhubungan yang lemah di antara pemboleh ubah-pemboleh ubah pembelajaran koperatif dengan pencapaian akademik para pelajar (Rosini Bin Abu, 1997). Seterusnya terdapat kajian yang menunjukkan kaedah pembelajaran kompetitif dan tradisional lebih berkesan berbanding kaedah pembelajaran koperatif (Kanevsky,1985). Kajian-kajian di atas juga telah mengelaskan kumpulan sasaran pelajar kepada 3 iaitu kumpulan pelajar berpencapaian tinggi, kumpulan pelajar berpencapaian rendah dan gabungan kumpulan pelajar berpencapaian tinggi dan rendah. Kajian yang melibatkan kumpulan heterogenus dapat memberi maklumat tentang proses interaksi antara pelajar berpencapaian tinggi dan pelajar berpencapaian rendah, di mana pembelajaran koperatif di dalam kumpulan yang heterogenus menunjukkan lebih interaksi positif dan prestasi pembelajaran yang lebih baik berbanding pembelajaran secara persendirian (Smith et al., 1982). Namun demikian, sama ada pembelajaran koperatif atau tambahan latihan di dalam kemahiran sosial yang mempengaruhi dapatan masih tidak jelas.(Elmore & Zenus, 1994). Tinjauan literatur untuk mengenal pasti kesan pembelajaran koperatif ke atas pemboleh ubah-pemboleh ubah pencapaian akademik dan sikap, didapati lazimnya dijalankan secara berasingan iaitu kajian kesan pembelajaran koperatif ke atas pencapaian akademik sahaja dan kajian kesan pembelajaran koperatif ke atas sikap sahaja. Setakat ini, masih kurang kajian yang mengkaji secara serentak kesan pembelajaran koperatif ke atas kedua-dua pemboleh ubah pencapaian akademik dan sikap. Kajian serentak pembelajaran koperatif ke atas pencapaian akademik dan sikap penting untuk kita mengukur sama ada pembelajaran koperatif mempengaruhi sikap dan perubahan sikap ini yang mempengaruhi pencapaian akademik ataupun perubahan pencapaian akademik masih boleh berlaku tanpa perubahan sikap.
Perakaunan Amat Menarik dan Mencabar

Kerjaya sebagai akauntan menjadi cita-cita ramai pelajar disebabkan persepsinya yang dipandang tinggi seperti peluang untuk menyandang jawatan tinggi berbanding lain-lain kerjaya dengan gaji yang lumayan serta status dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang baru dilantik, Dato' Johan Raslan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kerjaya ini. Sebagai Pengerusi Eksekutif salah sebuah firma perakaunan yang terbesar di Malaysia, Dato' Johan percaya bahawa perakaunan adalah satu profesion yang amat baik untuk diceburi. Selain daripada menarik, ia menawarkan kerjaya yang pelbagai."Di Malaysia, akauntan ada di mana-mana sahaja. Misalnya, dalam bidang perbankan,insurans,badan-badan kawal-selia dan kerajaan. Sejak kebelakangan ini,kerjaya perakaunan telah berkembang sebagai satu bidang yang amat menarik dan dinamik. Sesetengah bidang, walaupun hebat, tidak mengembangkan pemilihan kerjaya seseorang malah menyempitkannya."Namun, dengan asas ilmu perakaunan, seseorang itu mempunyai upaya untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang yang lain," jelasnya lagi.Kepada golongan muda yang berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang akauntan dan kepada ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka menceburi profesion ini, Johan mencadangkan bahawa mereka membuat kaji-selidik dengan lebih lanjut sambil mengambil kira latar belakang, keperluan serta hala tuju. Kerjaya yang sedia ada. Beliau mencadangkan mereka yang berminat supaya mendapatkan pengalaman latihan cuti semester yang ditawarkan oleh hampir semua firma perakaunan di dalam dan luar negara. Katanya, latihan cuti semester salah antara cara yang terbaik untuk mendedahkan seseorang mahasiswa kepada bidang ini. Mereka boleh mengambil peluang ini untuk menilai sama ada untuk terus menceburi kerjaya ini atau sebaliknya."Firma perakaunan, sama ada besar atau kecil, adalah bagai sebuah universiti. Mereka menyediakan peluang pembelajaran seperti latihan cuti semester. Bagi saya, jika saya tidak mengikuti latihan ini, saya mungkin tidak akan memahami bidang ini secara begitu mendalam," cerita Johan.

"Latihan cuti semester memberikan seseorang gambaran sebenar mengenai profesion ini dan pelbagai pilihan kerjaya yang terdapat di bawah bidang ini seperti perbankan, perakaunan, audit, insurans, perusahaan, percukaian, pakar runding dan penasihat serta banyak lagi. Pada hakikatnya, tidak banyak kerjaya yang memberikan anda peluang sebegini untuk mendapat pengalaman serta mengetahui secara mendalam mengenai sesebuah bidang sebelum anda menceburinya," tambah beliau. "Selain ijazah asas, adalah disyorkan seseorang itu mendapatkan kelulusan bertauliah (Professional Qualifications) supaya mereka dapat terus maju dalam kerjaya ini. Peluang pekerjaan serta gaji yang boleh dimiliki adalah lebih baik jika anda mempunyai kelulusan ini."

"Jika berhadapan dengan dua calon, kebanyakan majikan yang saya ketahui, lebih cenderung membuat tawaran kerjaya kepada mereka yang berkelulusan profesional kerana lebih yakin dengan ciri-ciri yang dimiliki mereka," tambah beliau. Kelayakan profesional atau bertauliah seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Association of Chartered Certified Accountant (ACCA), dan Institute of Chartered Accountants in Australia (ICAA) dapat memberikan anda lebih kemahiran dan pendedahan yang diperlukan untuk menjadi seorang akauntan yang terlatih sepenuhnya. "Dengan erti kata lain, kelayakan ini memberikan seseorang kelebihan berbanding mereka yang tidak mempunyai kelayakan tersebut," kata Johan. Johan mempunyai ijazah dalam bidang Ekonomi dan Perakaunan, serta Perakaunan Bertauliah (Chartered Accountancy) dari United Kingdom.Selepas tamat pelajarannya di sana, beliau bekerja dengan Robson Rhodes, Akauntan Bertauliah, dari tahun 1981 hingga 1990, sebelum meneruskan kerjayanya di Price Waterhouse, London. Beliau kemudiannya kembali ke tanah-air dan menyertai PwC Malaysia (dahulunya Price Waterhouse) pada tahun 1992, sebelum menjadi rakan kongsi pada tahun 1993 dan berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Kewangan (Financial Services leader) firma tersebut sehingga Julai, 2003.

Pengalaman beliau yang cemerlang dalam tempoh 13 tahun berkhidmat dengan PwC Malaysia telah menjadikan beliau seorang yang diiktiraf di kalangan ahli industri. Ini membawa kepada pelantikan beliau ke dalam pelbagai jawatan dalam badan-badan kerajaan. Kini, Dato' Johan memegang pelbagai jawatan. Di antaranya, sebagai pengerusi Malaysian Financial Reporting Foundation dan presiden Eisenhower Fellows Association of Malaysia, serta ahli penasihat kepada Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA). Johan menyandang tugas barunya sebagai Pengurusi Eksekutif PwC daripada Raja Datuk Arshad Uda, pada 1 Januari 2005. Raja Datuk Arshad telah menerajui PricewaterhouseCoopers Malaysia selama 18 tahun. Disifatkan oleh rakan sekerja dan teman-teman sebagai seorang yang mesra dan peramah, Johan sememangnya mudah berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya. "Dalam bidang ini, satu unsur yang paling diperlukan adalah sumber manusia. Mungkin di masa lalu, akauntan hanya membuat audit dan berkomunikasi dengan ketua akauntan. Namun seiring dengan perubahan zaman, kini seseorang akauntan perlu memberi nasihat mengenai sistem percukaian, pengurusan risiko dan sebagainya. Mereka juga dikehendaki berinteraksi; bukan sahaja dengan ketua-ketua eksekutif syarikat malah dengan seluruh lapisan warga kerja," ujar Johan. Kerjasama sepasukan juga amat penting dalam bidang ini. Bertentangan dengan persepsi umum, bidang perakaunan bukanlah satu kerjaya perseorangan." Dalam erti kata lain, kita memerlukan kerjasama dalam pasukan atau kumpulan dalam segenap peringkat kerjaya seseorang," tambah beliau.

"Mereka dalam bidang ini mempunyai banyak tanggungjawab. Sebagai seorang akauntan, kita perlu keluar ke firma dan syarikat-syarikat serta berjumpa dengan semua lapisan masyarakat. Mereka yang berjaya dalm profesion ini, adalah mereka yang boleh berkomunikasi dan berhubungan dengan orang ramai," jelas beliau lagi. Selain memberi penekanan terhadap nilai-nilai etika dalam dunia korporat kini, Johan berkata antara unsur-unsur penting lain bagi mereka yang ingin berjaya dalam bidang ini adalah kecekapan dam menyelesaikan masalah berkaitan nombor (matematik) dan sikap ingin tahu. Ditanya mengenai masalah kekurangan profesional dalam bidang ini di Malaysia dan sama ada langkah-langkah yang patut diambil bagi mengatasinya, Johan berkata masalah ini mungkin disebabkan oleh kepesatan ekonomi dan kemajuan Negara. "Lebih maju sesebuah Negara itu, dan lebih berkembang ekonomi Negara tersebut, lebih ramai profesional dari pelbagai bidang diperlukan," kata beliau.

"Seperti dahulunya, saya percaya Kerajaan kita sedang berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Seperti menggalakkan sesetengah pelajar mengikuti sesuatu bidang pengkhususan. Tetapi, pada masa kini, dengan pelbagai kursus menarik yang ditawarkan, agak sukar bagi kita berbuat demikian. Namun, saya pasti badan profesional seperti MIA dan firma perakaunan seperti PwC, sedang mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengatasi masalah ini," jelas Johan.Katanya, PwC baru-baru ini telah menganjurkan satu "Bengkel Kerjaya" atau Career Workshop di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC). "Tujuan bengkel tersebut adalah untuk menjelaskan kepada para pelajar yang hadir bidang-bidang kerjaya yang ada, termasuk bidang perakaunan, latar belakangnya dan pilihan kerjaya di bawahnya. Ramai yang hadir pada mulanya berpendapat yang bidang ini tidak menarik dan membosankan tetapi setelah mendengar penjelasan terperinci kami mengenainya, mereka berasa kagum dengan kepelbagaian dan tarifnya bidang ini," tambah Johan.
Ditanya sama ada pengalaman luar negaranya secara tidak langsung membantunya dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang ini di Malaysia, beliau berkata apa saja pengalaman tambahan, termasuk pengalaman luar negara, memang dapat membantu kerjaya seseorang itu kerana ia memberi cabaran dan pendedahan baru. Tetapi, tambahnya, pada masa kini di Malaysia, ia (pengalaman luar negara) tidak lagi menjadi sesuatu kemestian atau keperluan kerana keadaan ekonomi negara kita adalah baik dan Malaysia sekarang boleh menawarkan seseorang itu pengalaman yang pelbagai dari segi kerjaya dan pendidikan. "Malaysia kini boleh melatih seseorang itu dalam pelbagai bidang. Kita tidak lagi perlu ke luar negara seperti United Kingdom untuk mendapatkan kelulusan bertauliah kerana negara kita juga menawarkan kursus seperti ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales) untuk menjadi seorang akauntan yang bertauliah," kata Johan.

Johan berkata sebagai sebuah negara membangun, Malaysia boleh berasa bangga dengan bidang perakaunannya yang telah pun berkembang, "Jika kita lihat di negara-negara jiran kita, ramai di antara akauntan mereka adalah orang asing," ujar beliau. Di Malaysia pula, senarionya berlainan. Hampir semua akauntan kita adalah rakyat Malaysia," ujar beliau.
Artikel ini mula-mula disiarkan dalam Utusan Malaysia lampiran Celik pada 28 February 2005.