Tuesday, January 31, 2006

Perakaunan Amat Menarik dan Mencabar

Kerjaya sebagai akauntan menjadi cita-cita ramai pelajar disebabkan persepsinya yang dipandang tinggi seperti peluang untuk menyandang jawatan tinggi berbanding lain-lain kerjaya dengan gaji yang lumayan serta status dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang baru dilantik, Dato' Johan Raslan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kerjaya ini. Sebagai Pengerusi Eksekutif salah sebuah firma perakaunan yang terbesar di Malaysia, Dato' Johan percaya bahawa perakaunan adalah satu profesion yang amat baik untuk diceburi. Selain daripada menarik, ia menawarkan kerjaya yang pelbagai."Di Malaysia, akauntan ada di mana-mana sahaja. Misalnya, dalam bidang perbankan,insurans,badan-badan kawal-selia dan kerajaan. Sejak kebelakangan ini,kerjaya perakaunan telah berkembang sebagai satu bidang yang amat menarik dan dinamik. Sesetengah bidang, walaupun hebat, tidak mengembangkan pemilihan kerjaya seseorang malah menyempitkannya."Namun, dengan asas ilmu perakaunan, seseorang itu mempunyai upaya untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang yang lain," jelasnya lagi.Kepada golongan muda yang berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang akauntan dan kepada ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka menceburi profesion ini, Johan mencadangkan bahawa mereka membuat kaji-selidik dengan lebih lanjut sambil mengambil kira latar belakang, keperluan serta hala tuju. Kerjaya yang sedia ada. Beliau mencadangkan mereka yang berminat supaya mendapatkan pengalaman latihan cuti semester yang ditawarkan oleh hampir semua firma perakaunan di dalam dan luar negara. Katanya, latihan cuti semester salah antara cara yang terbaik untuk mendedahkan seseorang mahasiswa kepada bidang ini. Mereka boleh mengambil peluang ini untuk menilai sama ada untuk terus menceburi kerjaya ini atau sebaliknya."Firma perakaunan, sama ada besar atau kecil, adalah bagai sebuah universiti. Mereka menyediakan peluang pembelajaran seperti latihan cuti semester. Bagi saya, jika saya tidak mengikuti latihan ini, saya mungkin tidak akan memahami bidang ini secara begitu mendalam," cerita Johan.

"Latihan cuti semester memberikan seseorang gambaran sebenar mengenai profesion ini dan pelbagai pilihan kerjaya yang terdapat di bawah bidang ini seperti perbankan, perakaunan, audit, insurans, perusahaan, percukaian, pakar runding dan penasihat serta banyak lagi. Pada hakikatnya, tidak banyak kerjaya yang memberikan anda peluang sebegini untuk mendapat pengalaman serta mengetahui secara mendalam mengenai sesebuah bidang sebelum anda menceburinya," tambah beliau. "Selain ijazah asas, adalah disyorkan seseorang itu mendapatkan kelulusan bertauliah (Professional Qualifications) supaya mereka dapat terus maju dalam kerjaya ini. Peluang pekerjaan serta gaji yang boleh dimiliki adalah lebih baik jika anda mempunyai kelulusan ini."

"Jika berhadapan dengan dua calon, kebanyakan majikan yang saya ketahui, lebih cenderung membuat tawaran kerjaya kepada mereka yang berkelulusan profesional kerana lebih yakin dengan ciri-ciri yang dimiliki mereka," tambah beliau. Kelayakan profesional atau bertauliah seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Association of Chartered Certified Accountant (ACCA), dan Institute of Chartered Accountants in Australia (ICAA) dapat memberikan anda lebih kemahiran dan pendedahan yang diperlukan untuk menjadi seorang akauntan yang terlatih sepenuhnya. "Dengan erti kata lain, kelayakan ini memberikan seseorang kelebihan berbanding mereka yang tidak mempunyai kelayakan tersebut," kata Johan. Johan mempunyai ijazah dalam bidang Ekonomi dan Perakaunan, serta Perakaunan Bertauliah (Chartered Accountancy) dari United Kingdom.Selepas tamat pelajarannya di sana, beliau bekerja dengan Robson Rhodes, Akauntan Bertauliah, dari tahun 1981 hingga 1990, sebelum meneruskan kerjayanya di Price Waterhouse, London. Beliau kemudiannya kembali ke tanah-air dan menyertai PwC Malaysia (dahulunya Price Waterhouse) pada tahun 1992, sebelum menjadi rakan kongsi pada tahun 1993 dan berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Kewangan (Financial Services leader) firma tersebut sehingga Julai, 2003.

Pengalaman beliau yang cemerlang dalam tempoh 13 tahun berkhidmat dengan PwC Malaysia telah menjadikan beliau seorang yang diiktiraf di kalangan ahli industri. Ini membawa kepada pelantikan beliau ke dalam pelbagai jawatan dalam badan-badan kerajaan. Kini, Dato' Johan memegang pelbagai jawatan. Di antaranya, sebagai pengerusi Malaysian Financial Reporting Foundation dan presiden Eisenhower Fellows Association of Malaysia, serta ahli penasihat kepada Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA). Johan menyandang tugas barunya sebagai Pengurusi Eksekutif PwC daripada Raja Datuk Arshad Uda, pada 1 Januari 2005. Raja Datuk Arshad telah menerajui PricewaterhouseCoopers Malaysia selama 18 tahun. Disifatkan oleh rakan sekerja dan teman-teman sebagai seorang yang mesra dan peramah, Johan sememangnya mudah berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya. "Dalam bidang ini, satu unsur yang paling diperlukan adalah sumber manusia. Mungkin di masa lalu, akauntan hanya membuat audit dan berkomunikasi dengan ketua akauntan. Namun seiring dengan perubahan zaman, kini seseorang akauntan perlu memberi nasihat mengenai sistem percukaian, pengurusan risiko dan sebagainya. Mereka juga dikehendaki berinteraksi; bukan sahaja dengan ketua-ketua eksekutif syarikat malah dengan seluruh lapisan warga kerja," ujar Johan. Kerjasama sepasukan juga amat penting dalam bidang ini. Bertentangan dengan persepsi umum, bidang perakaunan bukanlah satu kerjaya perseorangan." Dalam erti kata lain, kita memerlukan kerjasama dalam pasukan atau kumpulan dalam segenap peringkat kerjaya seseorang," tambah beliau.

"Mereka dalam bidang ini mempunyai banyak tanggungjawab. Sebagai seorang akauntan, kita perlu keluar ke firma dan syarikat-syarikat serta berjumpa dengan semua lapisan masyarakat. Mereka yang berjaya dalm profesion ini, adalah mereka yang boleh berkomunikasi dan berhubungan dengan orang ramai," jelas beliau lagi. Selain memberi penekanan terhadap nilai-nilai etika dalam dunia korporat kini, Johan berkata antara unsur-unsur penting lain bagi mereka yang ingin berjaya dalam bidang ini adalah kecekapan dam menyelesaikan masalah berkaitan nombor (matematik) dan sikap ingin tahu. Ditanya mengenai masalah kekurangan profesional dalam bidang ini di Malaysia dan sama ada langkah-langkah yang patut diambil bagi mengatasinya, Johan berkata masalah ini mungkin disebabkan oleh kepesatan ekonomi dan kemajuan Negara. "Lebih maju sesebuah Negara itu, dan lebih berkembang ekonomi Negara tersebut, lebih ramai profesional dari pelbagai bidang diperlukan," kata beliau.

"Seperti dahulunya, saya percaya Kerajaan kita sedang berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Seperti menggalakkan sesetengah pelajar mengikuti sesuatu bidang pengkhususan. Tetapi, pada masa kini, dengan pelbagai kursus menarik yang ditawarkan, agak sukar bagi kita berbuat demikian. Namun, saya pasti badan profesional seperti MIA dan firma perakaunan seperti PwC, sedang mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengatasi masalah ini," jelas Johan.Katanya, PwC baru-baru ini telah menganjurkan satu "Bengkel Kerjaya" atau Career Workshop di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC). "Tujuan bengkel tersebut adalah untuk menjelaskan kepada para pelajar yang hadir bidang-bidang kerjaya yang ada, termasuk bidang perakaunan, latar belakangnya dan pilihan kerjaya di bawahnya. Ramai yang hadir pada mulanya berpendapat yang bidang ini tidak menarik dan membosankan tetapi setelah mendengar penjelasan terperinci kami mengenainya, mereka berasa kagum dengan kepelbagaian dan tarifnya bidang ini," tambah Johan.
Ditanya sama ada pengalaman luar negaranya secara tidak langsung membantunya dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang ini di Malaysia, beliau berkata apa saja pengalaman tambahan, termasuk pengalaman luar negara, memang dapat membantu kerjaya seseorang itu kerana ia memberi cabaran dan pendedahan baru. Tetapi, tambahnya, pada masa kini di Malaysia, ia (pengalaman luar negara) tidak lagi menjadi sesuatu kemestian atau keperluan kerana keadaan ekonomi negara kita adalah baik dan Malaysia sekarang boleh menawarkan seseorang itu pengalaman yang pelbagai dari segi kerjaya dan pendidikan. "Malaysia kini boleh melatih seseorang itu dalam pelbagai bidang. Kita tidak lagi perlu ke luar negara seperti United Kingdom untuk mendapatkan kelulusan bertauliah kerana negara kita juga menawarkan kursus seperti ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales) untuk menjadi seorang akauntan yang bertauliah," kata Johan.

Johan berkata sebagai sebuah negara membangun, Malaysia boleh berasa bangga dengan bidang perakaunannya yang telah pun berkembang, "Jika kita lihat di negara-negara jiran kita, ramai di antara akauntan mereka adalah orang asing," ujar beliau. Di Malaysia pula, senarionya berlainan. Hampir semua akauntan kita adalah rakyat Malaysia," ujar beliau.
Artikel ini mula-mula disiarkan dalam Utusan Malaysia lampiran Celik pada 28 February 2005.

1 comment:

Anonymous said...

Inilah orang melayu ... x pernah nak appreciate ape orang melayu lain buat ..

sampai mencarut plak tu ... macam orang x skolah..

hope cikgu abaikan komen orang seperti ini .. teruskan usaha murni cikgu...