SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI
Disediakan oleh: En.Sajoli Bin Haji Masdor
(Diterbitkan untuk bahan bacaan guru-guru SMKTM – 22 Dis 2005)
Tajuk: Aplikasi Teori-Teori Pembelajaran Dalam Penyediaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Prinsip Perakaunan.
1. Pendahuluan
Pengajaran dan pembelajaran telah memainkan peranan penting dalam pendidikan di negara kita Malaysia. Era ICT kini telah memajukan bidang pendidikan . Kalau dulu, guru-guru terikat dengan buku teks dan mengamalkan pengajaran dan pembelajaran ala 'chalk and talk' tetapi kini pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan dalam pelbagai kaedah, seperti penggunaan modul-modul pembelajaran yang berpusatkan pelajar.Dalam proses pembinaan modul-modul pembelajaran yang berkesan, seseorang guru perlu memahami psikologi pelajar dan proses pengajaran dan pembelajaran secara mendalam.
2. Apakah itu Psikologi?
Menurut Griffith W. Williams, psikologi bermaksud satu cabang penyiasatan saintifik tentang tingkah laku. James O. Whittaker menyatakan bahawa psikologi adalah aktiviti atau sains tingkah laku khususnya tingkah laku manusia. Atan Long (1976) menghuraikan psikologi pendidikan sebagai sains yang mengkaji tingkah laku pelajar dalam suasana pembelajaran dalam bilik darjah. Smith (1978) menjelaskan psikologi pendidikan sebagai kajian saintifik terhadap tingkah laku individu dalam pendidikan , termasuk prinsip-prinsip dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pendidikan. Ahli psikologi mungkin mengkaji tingkah laku secara saintifik, atau mereka mungkin menggunakan teori dan dapatan penyelidikan orang lain untuk masalah praktikal.
3. Apa itu Pengajaran?
Pengajaran adalah sesuatu proses berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya pelajar-pelajar dapat mempelajari dan menguasainya dengan berkesan. Melalui pengajaran, pelajar berubah dari tidak tahu kepada tahu. Terdapat beberapa model pengajaran yang dipraktikkan oleh guru-guru pada masa kini. Mengikut Thomas F. Green, tujuan mengajar ialah menukar tingkah laku dan kelakukan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru.
4. Apa itu Pembelajaran?
Pembelajaran merupakan satu proses berterusan. Menurut Kamus Dewan (1994), pembelajaran adalah usaha memperoleh ilmu pengetahuan, menuntut ilmu pengetahuan. Proses ini mengkehendaki pelajar melalui pengalaman seperti mendapat penerangan guru, membuat latihan bertulis atau amali sehingga berlaku perubahan dalam diri pelajar. Robert M. Gagne (1970) dalam bukunya 'The Condition of Learning' mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan. Menurut Mayer (1982), pembelajaran adalah perubahan kekal dalam pengetahuan seseorang melalui pengalaman. Driscoll (1994) menyebut bahawa pembelajaran adalah perubahan prestasi secara berterusan dalam diri manusia hasil dari interaksi pembelajaran dengan persekitaran. Oleh itu pembelajaran merupakan satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia menerusi pengalaman. Ciri kekekalan terbentuk dari perubahan-perubahan ini.
Pada asasnya konsep pembelajaran berlandaskan teori-teori pembelajaran masa kini. Konsep Pembelajaran diperoleh manusia sejak kecil lagi sama ada secara formal atau tidak formal. Manusia menggunakan derianya seperti mata, hidung, mata, telinga bagi meyesuaikan diri dengan persekitaran. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif, konstruktisme, behaviourisme dan 'Multiple Choices'. Proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat. Tindakan mengamalkan pengalaman atau ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam proses pembelajaran merupakan satu perubahan tingkah laku manusia.
5.1 Skima
Piaget yakin bahawa akal perlu mempunyai struktur dan setiap struktur mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Skema atau skemata adalah struktur-struktur kognitif atau metal yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasikan atau mengorganisasikan persekitarannya. Struktur-struktur ini tidak static malah berubah selari dengan perkembangan mental individu. Sebagai contoh seorang pelajar yang mengambil mata pelajaran prinsip perakaunan pada skema pertama dalam tajuk Akaun Penamat hanya mengetahui format T sahaja. Tetapi proses pembelajaran yang berterusan membolehkan pelajar mempunyai skemata, iaitu mengetahui format penyata dan lembaran kerja 10 lajur. Oleh kerana skemata adalah struktur-struktur kognitif yang berubah dan berkembang melalui interaksi dengan persekitaran, maka peluang hendaklah disediakan dengan sebanyak mungkin untuk menggalakkan perkembangan skemata secara maksimum. Proses yang membolehkan skemata berkembang dan maju dinamakan asimilasi dan akomodasi.
5.2 Asimilasi
Asimilasi adalah suatu proses yang dengannya seseorang itu menyatupadukan rangsangan-rangsangan baru ke dalam skemata yang sedia ada. Sebagai contoh menguasai Akaun Penerimaan dan Pembayaran dalam tajuk Akaun Kelab lebih mudah difahami apabila pelajar boleh mengaitkannya dengan prinsip Akaun Tunai. Asimilasi berlaku sepanjang masa, dan pelajar terus menerus memproses rangsangan-rangsangan yang kian bertambah bilangannya itu. Asimilasi tidak menghasilkan skemata baru, tetapi membantu di dalam mengembangkan skemata-skemata yang sedia ada supaya menjadi kompleks agar dapat memahami rangsangan-rangsangan yang lebih kompleks.
5.3 Akomodasi
Setiap pengalaman baru akan diskematakan dengan pengalaman yang sedia ada. Namun demikian tidak semua pengalaman baru berjaya diskematakan. Oleh itu, penyelesaian kepada masalah ini ialah mengubah suai skemata dengan skema yang baru diterima atau mewujudkan skemata baru yang boleh digunakan untuk menerima rangsangan baru itu. Kedua-dua penyelesaian ini dikenali sebagai akomodasi. Sebagai contoh bolehkah Seladang diklasifikasikan dalam kumpulan Kerbau? Kerana ada di kalangan masyarakat memanggil Seladang sebagai Kerbau Hutan. Atau Seladang wujud dalam kelasnya tersendiri.
5.4 Perimbangan
Proses pengembangan skemata harus berlaku secara berimbang, iaitu sama ada dari segi kuantiti atau kualiti, asimilasi dan akomodasi. Perubahan yang berlaku secara ekstrim pada salah satu konsep di atas sudah tentu akan mencacatkan proses perkembangan kognitif seseorang pelajar. Sebagai contoh terlalu banyak asimilasi akan menyebabkan pelajar mempunyai skemata yang terbatas bilangannya. Untuk menjamin wujudnya perimbangan, apa yang sering berlaku ialah organisma akan cuba terlebih dahulu mengasimilasikan sesuatu rangsangan baru yang ditemuinya, jika langkah ini gagal maka barulah ia melakukan akomidasi. Oleh itu, pelajar perlu bijak merancang aktiviti pembelajaran mereka.
6. Teori Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran Konstruktivisme menggalakkan pelajar-pelajar atau individu untuk navigasi, mencipta dan membina pengetahuannya. Modul-modul pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan boleh menggunakan ciri-ciri konstruktivisme seperti mengadakan pembelajaran bersifat latihan tubi terancang, di mana tugasan, kemahiran dan aras kesukaran soalan bertambah kompleks. Ini akan mendorong pelajar meneroka maklumat menerusi pembacaan, internet dan perbincangan dengan rakan dan guru. Pemerolehan atau dapatan maklumat terkini seharusnya mempunyai hubung kait dengan pengetahuannya yang lalu.
Driver dan Leach (1993) menerangkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme dengan merujuk pembelajaran sains. Iaitu pembelajaran melibatkan interaksi antara skema mental pelajar dan pengalaman yang dialaminya. Sekiranya pengalaman tersebut sejajar dengan jangkaan pelajar, tidak banyak perubahan dalam skema mental pelajar diperlukan. Sebaliknya jika pengalaman itu adalah sesuatu yang baru, pelajar mungkin mengubahsuaikan atau menukarkan skema pengetahuannya. Dalam cara ini, pembelajaran sains melibatkan pengembangan dan penstrukturan semula skema pengetahuan pelajar secara progresif ( Wong Koey Chooi dan Toh Seong Chong, 2003) .
7. Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Mereka Modul P&P
7.1 Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif merujuk kepada strategi mengajar dalam satu kumpulan kecil. Dalam kumpulan kecil ini pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelbagai kebolehan, di bawah aktiviti pembelajaran yang terancang. Setiap ahlli kumpulan bertanggungjawab untuk belajar tetapi juga membantu rakan-rakan sekumpulan dalam pelajaran. Sifat kerjasama penting dalam pembelajaran koperatif. Penyelidikan banyak dibuat mengenai pembelajaran koperatif di mana pembelajaran ini dapat membaiki pencapaian akademik, meningkatkan rasa keyakinan dalam diri dan motivasi serta memupuk perasaan suka terhadap sekolah dan rakan-rakan sekumpulan.
Menurut Johnson & Johnson (1991) dan Salvin (1983) pelajar yang bekerjasama antara satu sama lain dalam satu kumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan mampu meningkatkan prestasi masing-masing. Contoh pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan diberi tugasan yang berbeza untuk mengkaji tajuk Hasil, Belanja, Aset, dan Liabiliti. Langkah seterusnya pelajar akan diletakkan dalam kumpulan baru yang mewakili 4 kumpulan awal tadi untuk memjawab tugasan/latihan.
7.2 Pembelajaran Kolaboratif
Pembelajaran kolaboratif adalah satu pembelajaran di mana pelajar-pelajar bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yang tipikal atau komplek yang memerlukan pencarian maklumat oleh pelajar. Interaksi di antara pelajar dan bahan pengajaran, pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru akan berlaku ketika pembelajaran kolaboratif. Pelajar-pelajar ini akan membahagikan tugas-tugas tertentu untuk mencari maklumat bagi menyelesaikan masalah. Secara tidak langsung pelajar akan membina pengetahuan yang lebih bermakna berbanding dengan belajar secara individu. Pelajar-pelajar bekerjasama sebagai satu kumpulan dalam menyelesaikan masalah. Kumpulan pembelajaran kolaboratif akan berubah menjadi sekumpulan pelajar heterogenus yang berbeza tahap kebolehan dan kepakaran.
Menurut Schwartz, Black & Strange (1991) pelajar-pelajar yang bekerja dalam satu kumpulan melalui proses pembelajaran bukan sebaliknya pasif apabila mendengar penerangan guru. Pasangan pelajar yang bekerjasama menunjukkan interaksi yang efektif. Begitu juga tiga atau lebih daripada tiga orang pelajar. Kagan (1986) menyatakan bahawa pelajar yang saling bantu membantu antara satu sama lain akan membina menyokong komuniti yang meningkatkan prestasi setiap ahli kumpulan.
7.3 Pembelajaran Anjal
Anjal membawa makna mudah berubah sama ada bertambah atau berkurangan. Dalam pendidikan, masa belajar seseorang pelajar bergantung kepada ketetapan jadual waktu belajar yang telah ditentukan oleh pentadbir sekolah. Dalam mencipta modul Prinsip Perakaunan, pelajar bebas menggunakan modul tersebut mengikut keselesaan masa pelajar. Pembelajaran anjal mengaitkan masa belajar pelajar. Contoh modul yang telah dimuatkan dalam bentuk perisian komputer dan boleh dimuat turun dari laman web.
7.4 Pembelajaran Aktif
Dalam pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung, pelajar-pelajar bukan setakat mendengar sahaja tetapi mereka mesti membaca, berbincang dan terlibat dalam penyelesaian masalah. Pentingnya bagi pelajar-pelajar melibatkan diri secara aktif.. Pelajar mesti terlibat dalam 'high order thinking', menganalisa tugasan, sintesis dan menilai. Oleh itu pembelajaran aktif adalah satu bentuk 'instructional' aktiviti melibatkan pelajar melakukan tugasan dan memikir tentang apa yang mereka lakukan.
7.5 Pembelajaran Reflektif
Cara belajar seseorang yang merupakan gaya pembelajaran reflektif adalah orang yang suka memikir, memerhati dan membuat refleksi kendiri terhadap apa yang dipersepsikan dalam alam sekitar. Dalam pembelajaran reflektif, pelajar mempunyai ide sendiri, suka memerhati, menyoal siasat, mentafsir, menilai serta membuat refleksi kendiri dengan kemahiran berfikir. Gaya-gaya pembelajaran reflektif ialah mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, suka menafsir dan menilai sesuatu perkara, keputusan serta membuat refleksi kendiri, berhati-hati dan sentiasa memikirkan pilihan dengan teliti.
7.6 Pembelajaran Penemuan Berpandu
Pembelajaran Inkuiri-Penemuan merupakan gabungan dua kaedah iaitu kaedah inkuiri dan kaedah penemuan. Pembelajaran Inkuiri-Penemuan merangkumi semua aktiviti merancang, menyiasat, menganalisis dan menemui. Kemahiran-kemahiran seperti membuat perbandingan, hipotesis, mengumpul maklumat melalui pemerhatian, membuat rujukan atau melakukan eksperimen, mengkaji dan menganalisis maklumat dan membuat generalisasi. Pembelajaran Inkuiri-Penemuan melatih pelajar berusaha memperoleh jawapan bagi sesuatu masalah. Dalam pembelajaran ini guru bertindak sebagai pembimbing yang memandu pelajar ke landasan pembelajaran yang betul.
Kesimpulan
Sudah tiba masa pihak guru meninggalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional dan berusaha mencuba kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini yang lebih berpusatkan pelajar.
Usaha gigih perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Prinsip Perakaunan. Antaranya ialah menerusi penghasilan modul-modul yang boleh membantu pelajar menguasai isi pelajaran secara mendalam (deep learning). Penghasilan modul seharusnya dirancang dengan teliti agar berupaya merangsang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif atau berfikiran pada aras tinggi di kalangan pelajar. Usaha mengadakan laman web Prinsip Perakaunan sangat penting kerana ia dapat menambah masa pembelajaran pelajar, terutama selepas waktu persekolahan. Aspek masa pembelajaran sangat penting dalam kaedah pembelajaran masteri. Semakin bertambah masa yang diperuntukkan oleh pelajar untuk menguasai sesuatu tajuk maka semakin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam tajuk berkenaan. Laman web dapat memberi maklumat kepada pelajar tentang nota ringkas, latihan dan informasi yang berkaitan dengan dunia perakaunan.