Sunday, February 12, 2006

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI

Bidang dan Kerjaya Perakaunan
Oleh : En.Sajoli Masdor M.Ed. UPSI

(Rencana ditulis khas untuk bahan bacaan pelajar yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan di SMK Taman Melawati dan Sekolah-sekolah Menengah
di Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan)

Definisi Perakaunan

Menurut Nikolai (1992) perakaunan ialah proses menyediakan maklumat kuantitatif tentang entiti ekonomi, untuk membantu penggunanya dalam membuat keputusan tentang peruntukan sumber ekonomi. Proses menyediakan bermaksud melibatkan aktiviti-aktiviti mengenal pasti maklumat, menganalisis, merekodkan dan menyampaikan maklumat perakaunan itu kepada pihak tertentu. Kuantitatif bermaksud maklumat perakaunan disampaikan dengan menggunakan angka yang diukur dalam nilai mata wang. Oleh itu, di Malaysia maklumat urus niaga diukur dalam ukuran mata wang Ringgit Malaysia.

Entiti ekonomi bermaksud perakaunan tidak terhad kepada organisasi perniagaan sahaja, malahan juga melibatkan organisasi bukan perniagaan seperti Masjid, Gereja, Majlis Perbandaran dan Persatuan Penduduk di sesuatu kawasan. Keputusan mengenai peruntukan sumber ekonomi adalah merujuk kepada aktiviti membeli, menjual, pelaburan dan pinjaman. Membuat keputusan bermaksud maklumat perakaunan digunakan oleh pihak dalaman dan pihak luaran dalam membuat keputusan. Pihak dalaman merujuk kepada unit-unit yang ada dalam organisasi itu seperti pihak pengurusan atasan. Pihak luaran pula ialah organisasi luar yang mempunyai minat atau kepentingan terhadap organisasi itu seperti pihak pelabur atau pemegang saham, institusi kewangan dan kerajaan.

Profesion Perakaunan

Perakaunan telah menjadi satu profesion, seiring dengan profesion perubatan dan undang-undang. Pelajaran dan amalan perakaunan memerlukan pemahaman yang luas bagi konsep-konsep dalam bidang-bidang ekonomi, sosiologi, psikologi dan pentadbiran awam. Secara umum, perakaunan terbahagi kepada tiga bidang utama iaitu, perakaunan awam, perakaunan pengurusan dan perakaunan kerajaan.

Perakaunan Awam

Seseorang akauntan awam ialah seorang ahli profesional yang bebas menyediakan perkhidmatan perakaunan kepada pelanggannya dengan mendapat bayaran. Sebahagian mereka adalah akauntan awam yang bertauliah kerana mereka telah memenuhi keperluan tertentu yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Di Malaysia profesion perakaunan di kawal oleh Malayisan Institute Of Accountants (MIA) untuk menjadi ahli pengamal perakaunan. Setiap akauntan awam bertauliah mesti mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh sebuah badan di sesebuah negara tempat akauntan awam bertauliah itu bekerja. Lesen pengamal perakaunan adalah diwajibkan kerana untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh akauntan awam bertauliah adalah terpiawai. Semua laporan kewangan yang dikeluarkan oleh akauntan awam bertauliah mestilah mematuhi piawai yang telah ditetapkan oleh The Malaysian Accounting Standards Board (MASB). Iaitu satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Laporan Kewangan 1997. Perakaunan awam mengandungi sub bidang pengauditan, khidmat nasihat pengurusan dan perkhidmatan cukai.

Perakaunan Pengurusan

Seorang akauntan pengurusan ialah akauntan yang diambil bekerja oleh entiti ekonomi untuk menjalankan aktiviti perakaunan dalaman. Pengurus ini akan membuat laporan secara terus kepada pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi. Sijil Perakaunan Pengurusan (Certificate in Management Accounting- CMA) diberi kepada mereka yang dapat memenuhi piawai pelajaran dan piawai profesional yang tertentu. Aktiviti perakaunan dalam pengurusan merangkumi bidang reka bentuk dan kendalian sistem perakaunan, pembelanjawan, perakaunan kos, pengauditan dalaman dan perakaunan cukai.

Perakaunan Kerajaan

Terdapat juga akauntan yang bekerja dengan agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Sebagi contoh akauntan yang bekerja dengan jabatan-jabatan kerajaan, kerajaan tempatan, organisasi bukan untung dan jabatan hasil dalam negeri.


Perakaunan berbanding Simpan kira

Istilah simpan kira sering dikelirukan dengan istilah perakaunan. Anda perlu mengingat semula bahawa perakaunan adalah termasuk pengauditan dalaman dan luaran, khidmat nasihat pengurusan, perancangan cukai pendapatan dan penyediaan penyata cukai, pembelanjawan dan mereka bentuk dan mengendalikan sistem perakaunan. Perkara-perkara yang termasuk dalam proses perakaunan ialah mengenal pasti, mengukur, merekodkan dan menyimpan serta menyampaikan maklumat kewangan.

Simpan kira ialah proses merekodkan maklumat perakaunan sesebuah syarikat mengikut langkah-langkah seperti mengenal pasti, mengelaskan, dan merekodkan maklumat urus niaga sahaja. Seseorang yang memahami simpan kira tidak memerlukan pengetahuan perakaunan yang luas. Lazimnya kerjaya simpan kira-kira hanyalah setakat kerjaya di peringkat perkeranian perakaunan. Walau bagaimanapun seseorang akauntan perlu mempunyai pengetahuan dalam simpan kira-kira.


Aktiviti Pembelajaran.

Sila berikan refleksi pendapat anda tentang bidang dan kerjaya perakaunan di Malaysia.

No comments: