

SMK TAMAN MELAWATI
Tajuk: Dapatan Kajian Tentang Pendekatan Pembelajaran Permukaan, Pencapaian dan Mendalam.
Oleh: En.Sajoli Bin Hj.Masdor M. Ed (UPSI)
Konsep pendekatan pembelajaran permukaan dan mendalam telah diperkenalkan oleh Marton dan Saljo pada tahun 1976. Dalam satu kajian, mereka telah menyuruh 30 orang pelajar universiti membaca satu artikel akademik. Kemudian, pelajar diminta bukan sahaja mengingat kembali hujah utama penulis tetapi juga menerangkan proses bagaimana mereka melaksanakan tugas pembelajaran tersebut. Menerusi temu bual dengan pelajar secara individu, pengkaji telah dapat mengesan dua jenis pendekatan yang berbeza digunakan oleh pelajar dalam tugasan tersebut. Pendekatan pertama, pelajar hanya memfokuskan kepada mengingat kembali teks tersebut. Manakala bagi pendekatan kedua, pelajar cuba memahami maklumat dan idea yang ingin di sampaikan oleh penulis. Mereka juga menganalisis hujah-hujah dan struktur hujah oleh penulis.
Pendekatan permukaan dan pendekatan mendalam boleh mempengaruhi tahap pemahaman pelajar. Sebagai contoh, hafalan yang dikategorikan dalam pembelajaran permukaan kurang berkesan untuk membantu pelajar memahami isi pelajaran dengan baik. Manakala menganalisis secara terperinci isi pelajaran yang mewakili pembelajaran mendalam boleh membantu pelajar mencapai tahap pemahaman yang maksimum.(Marton & Saljo: 1979)
Satu penyelidikan yang melibatkan sampel seramai 90 orang dewasa dan mempunyai pengalaman pembelajaran yang berbagai-bagai. Berdasarkan temu bual dengan sampel, pengkaji mendapati sampel terbahagi kepada dua golongan tentang pandangan mereka tentang pembelajaran. Golongan pertama berpendapat pembelajaran hanyalah satu aktiviti hafalan fakta dan maklumat yang dipelajari dalam kelas. Manakala golongan kedua berpendapat pembelajaran melibatkan aktiviti menganalisis dan boleh dirancang perkembangannya. Ini menunjukkan golongan pertama menggunakan pendekatan permukaan dan golongan kedua menggunakan pendekatan mendalam.( Saljo: 1979 )
Selain itu dalam kajian-kajian di United Kingdom dan Australia telah mengenal pasti satu pendekatan pembelajaran pencapaian di kalangan pelajar universiti. Kumpulan pelajar universiti yang menggunakan pendekatan pembelajaran pencapaian lebih mengutamakan keputusan yang dicapai dalam ujian atau peperiksaan. Lazimnya mereka menaruh usaha yang gigih untuk mencapai kejayaan atau prestasi tinggi dalam peperiksaan mereka. ( Ramsden : 1979 dan Entwistle & Ramsdem: 1983)
Terdapat beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran mungkin boleh digunakan untuk meramal pencapaian pelajar pada masa depan. ( Entwistle & Koseki: 1985 ; Maznah & Yoong Suan: 1995 ; Watkins & Po Yin Drew: 1998 dan Irene Ho: 1999) Pada tahun 1970, Entwistle & Entwistle mengulangi kajian yang sama ke atas 139 pelajar universiti dan 118 pelajar maktab perguruan dengan menggunakan soal selidik yang mengaitkan motivasi dengan kaedah belajar. Mereka mendapati korelasi yang signifikan tetapi rendah antara pencapaian akademik dengan kaedah pembelajaran.
Apabila Entwistle, Nisbet & Entwisle pada tahun 1971 mengulangi kajian itu ke atas sampel yang lain, iaitu 562 pelajar maktab perguruan dan 190 pelajar politeknik, hasil kajian menunjukkan masih terdapat korelasi yang rendah antara kaedah pembelajaran dengan pencapaian akademik. Kesimpulan ialah semua pelajar yang mencapai prestasi yang baik dalam pelajaran menggunakan kaedah yang sama adalah didapati tidak benar. Perkara ini disokong oleh ahli-ahli penyelidikan yang lain bahawa pelajar pandai akan memilih kaedah pembelajaran yang dapat membantu dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan akademik.
Di Malaysia satu kajian telah dijalankan ke atas sampel 531 orang pelajar tingkatan empat dari lima buah sekolah menengah kebangsaan mendapati tiada korelasi di antara pencapaian akademik dengan pendekatan pembelajaran permukaan. Walau bagaimanapun ada korelasi yang signifikan antara pendekatan pembelajaran pencapaian dan pendekatan pembelajaran mendalam dengan prestasi akademik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Kajian kedua melibatkan sampel seramai 1,227 orang pelajar berumur di antara 16 tahun hingga 17 tahun daripada 14 buah sekolah menengah di Malaysia. Hasil kajian menunjukkan korelasi rendah antara pendekatan pembelajaran permukaan dan pendekatan pembelajaran mendalam dengan pencapaian akademik.
No comments:
Post a Comment