Untuk menjaga kesihatan jiwa, biasakan berfikir setiap hari walaupun memikirkan perkara-perkara yang kecil-kecil sekalipun. Kerana apabila otak dibiarkan 'menganggur', boleh pula ditimpa sakit dan menjadi bingung. Setiap hari otak mesti dilatih berfikir. Kalau otak malas berfikir, kita menjadi dungu. Banyaknya orang bodoh kerana malas berfikir. Itulah mati dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil lagi kerana orang yang kuat berfikirlah yang dapat menghasilkan hikmat, Jika besar kelak dia akan menjadi tokoh yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Masyarakat, organisasi dan negara akan terasa kekurangan tanpa tokoh tersebut.
Berfikir seharusnya selari dengan pengalaman. Kerana seorang pemikir yang berpengalaman, boleh mengambil natijah sesuatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar dan sulit. Sebab dari fikirannya dan pengalamannya, dia sudah biasa menjalankan manthiknya.
Adalah lebih malang sekali apabila setelah seseorang itu menjadi ahli fikir dan berpengalaman serta berilmu tetapi tidak terus berusaha menambah ilmu pengetahuan yang luas ibarat lautan. Kerana ilmu pengetahuan apabila diteroka, semakin banyak penemuan yang dapat menyumbang kepada peningkatan tamaddun manusia.
Sekian renungan di pagi Jumaat dan hasil pembacaan saya dari sumber buku Prof. Dr. Hamka bertajuk "Tasauf Moden" terjemahan Haji Abdul Malik Karim Amrullah, terbitan Darul Nu'Man.
No comments:
Post a Comment