Kajian Geoff Petty (2004) mendapati ganjaran positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti pujian, penghargaan dan lain-lain merupakan alat atau ‘senjata’ paling penting bagi guru untuk meningkatkan tahap pembelajaran dalam subjek mereka. Impaknya dapat dilihat dalam aspek pembelajaran yang lebih bermakna, motivasi, kelakuan yang baik, tumpuan yang lebih dalam kelas, percaya akan kebolehan kendiri dan minat terhadap subjek yang dipelajari.
Banyak kajian telah dilakukan terhadap konsep ganjaran, namun jawapan kepada persoalan bagaimana hendak memaksimumkan kesan ganjaran positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran masih belum ada jawapan muktamad. Perkara ini perlu mengambil masa (mungkin lebih dari 5 tahun), sentiasa berfikir akan bentuk-bentuk ganjaran yang sesuai dengan pelajar dan terus mencuba (practice to become a good practitioner)
Contoh kata-kata pujian yang dapat meningkatkan semangat pelajar ialah seperti berikut;
1. Kamu sangat bagus dalam tajuk ini.
2. Saya bangga dengan kamu.
3. Terima kasih kerana menambah fakta dalam perbincangan ini.
4. Karangan kamu mengandungi isi-isi yang bernas.
5. Kamu telah mengemukakan soalan yang bagus.