Ibubapa pada hari ini harus peka dan mengetahui, apakah bentuk dunia atau persekitaran di mana anak-anak mereka membesar. Dengan lain perkataan , generasi muda/remaja perlu diberi perhatian oleh ibubapa mereka dengan kasih sayang. “Pendidikan bermula di rumah” merupakan satu slogan yang pernah kita dengar dan perlu dihayati semula. Jika sesebuah keluarga itu memiliki keharmonian berkeluarga seperti ibubapa berkomunikasi secara baik, budaya menghormati orang lain dan mengamalkan budaya membaca , maka sudah tentu anak-anak mereka yang memiliki satu set tingkahlaku yang baik. Perkara ini sudah tentu banyak membantu tugas guru di sekolah dalam memberi fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran mengikut opsyen mereka. Pada pendapat saya, kebanyakkan pelajar merokok kerana refleksi mereka ke atas orang dewasa yang merokok di hadapan mereka. Kemungkinan perokok terdiri daripada ibubapa, guru-guru, penjawat awam atau swasta dan juga mereka yang baru balik dari rumah ibadat. Timbul persoalan kepada pelajar, adakah merokok itu sesuatu yang salah.
Kesibukan dengan tugas merupakan fenomena biasa kepada mereka yang bekerja di abad ke 21 ini. Setiap pekerja mempunyai banyak senarai tugas yang perlu dilaksana dan itu belum ambil kira waktu kerja di luar pejabat. Kalau hendak difikirkan tentang kesibukan tugas dan kekangan masa, sudah tentu tiada jawapan atau kesudahannya. Walau bagaimanapun kita harus meletakkan anak-anak sebagai aset paling penting dalam hidup ini. Mereka lah zuriat kita yang akan mengembangkan baka dan keturunan kita di muka bumi ini. Jika ibubapa dapat meluangkan sedikit masa untuk bersama mereka seperti berbual selepas makan malam, berbincang tentang tugasan yang diberi oleh guru dan bermain permainan atau sukan pada hujung minggu, saya pasti kita akan lebih mengenali anak-anak kita, dari segi keupayaannya secara mental dan fizikal. Ini membantu ibubapa mengesan sebarang tingkahlaku yang negatif untuk tindakan pencegahan.
No comments:
Post a Comment